NIK HASYUDIN
Anak Cucu Cicit Arshad (ACCA)
Anak Cucu Cicit Arshad (ACCA)
Bila Arshad Ayub diberi tanggungjawab untuk mentadbir Institut
Teknologi MARA (ITM), beliau memperkenalkan beberapa kursus profesional seperti
ACCA (perakaunan) dan ICSA (kesetiausahaan syarikat).
Tujuannya mudah sahaja. Jika anak-anak ITM berjaya mendapatkan
kelulusan demikian, mereka sudah setaraf dengan mana-mana manusia di muka bumi
ini yang mempunyai kelulusan yang sama. Tak perlu apa-apa bukti lain lagi.
Baru-baru ini anak-anak ini telah meraikan Tun Arshad Ayub
sempena penganugerahan Seri Setia Mahkota oleh Yang DiPertuan Agong. Di antara
mereka yang direkodkan di dalam foto ini adalah Dato Khalid Ahmad dan Abdul
Rahim Hamid. Mereka berdua telah berjaya di dalam kerjaya masing-masing dengan
kelulusan ACCA melalui ITM. Mereka juga banyak menyumbang melalui penglibatan
mereka di dalam sektor korporat dan juga perakaunan. Ramai lagi anak-anak ITM
yang mempunyai kejayaan yang sama.
Tun Arshad nampak jika anak-anak ITM diberikan peluang, mereka
boleh terbang tinggi. Mereka didorong untuk mencapai apa yang dikira sukar pada
ketika itu. Tidak ada masalah ACCA adalah kelulusan Mat Salleh dan meningkatkan
aliran keluar wang ke luar negara (kelayakan akademik di luar negara pun
menpunyai kesan yang sama ).
Yang penting anak-anak ITM mencapai kelayakan yang dimahukan oleh pasaran.
Lepas itu giliran mereka pulalah untuk berbakti dan mengangkat anak-anak bangsa
mereka yang lain.
Oleh kerana sudah ramai anak-anak bangsa mendapat kelayakan ACCA
melalui ITM (kemudiannya UiTM), mereka telah menggelarkan ACCA sebagai Anak
Cucu Cicit Arshad. Ini adalah tanda penghargaan mereka kepada seorang yang
mempunyai visi yang jelas dan tidak takut untuk menaikkan anak-anak ini ke
tahap yang sama tinggi dengan orang lain. Tun Arshad tidak menjadikan MERIT
sebagai hantu tetapi tahap yang mampu dicapai dengan usaha yang gigih.