HUSAM MUSA : KESAN EMPANGAN NENGGIRI :

 









KESAN EMPANGAN NENGGIRI :

PUSAT SEJARAH TERPENTING KELANTAN AKAN BERKUBUR DI BAWAH AIR SELAMANYA

Pembinaan Empangan Nenggiri akan menyebabkan sebahagian Bumi Kelantan akan tenggelam selama-lamanya.

Apakah perkara-perkara yang akan tenggelam sampai bila-bila itu?

Sebagai Rakyat Kelantan, wajar untuk kita fahami kesan-kesan negatif dan kekal yang akan timbul dari Projek Empangan Nenggiri yang nampaknya sangat dibanggakan oleh sesetengah pihak.

Melalui posting ini, saya melaksanakan tugas saya untuk berkongsi info untuk pengetahuan bersama.

Info ini saya petik dan kongsikan dari RINGKASAN EKSEKUTIF PROJEK EMPANGAN NENGGIRI OLEH UKM PAKARUNDING SDN BHD.

Berikut saya perturunkan laporan itu secara petikan terus, kecuali satu dua para yang bersifat terlalu akademik yang saya tinggalkan :

'Lembangan Sungai Nenggiri yang terletak di Hulu Kelantan mempunyai banyak tinggalan-tinggalan warisan kebudayaan yang antaranya ialah tapak-tapak arkeologi zaman prasejarah dan protosejarah.

Tapak-tapak ini amat signifikan dalam perkembangan sejarah di negeri Kelantan, terutamanya tapak yang terkenal SEPERTI GUA CHA DAN GUA CHAWAS YANG MENONJOLKAN ARTIFAK YANG MEMBENTUK KRONOLOGI SEJARAH AWAL NEGERI KELANTAN.

Fungsi utama Gua Cha ini adalah sebagai tempat perkuburan masyarakat Hoabinhian dan juga Neolitik sejak 12,000 hingga 13,000 ribu tahun yang lalu.

Sebuah lagi gua yang mempunyai fungsi yang sama, iaitu tapak perkuburan, ialah Gua Peraling yang terletak berhadapan dengan Sungai Perias.

Gua Jaya dan Gua Chawan yang terletak di pertemuan antara Sungai Jenera dan Sungai Nenggiri digunakan sebagai tempat untuk menghasilkan alat batu Hoabinhian manakala di Gua Jaya telah ditemui beribu-ribu serpihan tembikar tanah yang digunakan untuk memasak, menyimpan makanan atau menyimpan air bersih.

Tapak yang paling penting di lembangan Sungai Nenggiri ialah Gua Cha yang telah pun didaftarkan dalam Daftar Warisan di bawah nombor pendaftaran GUA CHA P.U. (B)292 16 Jun 2016

Pendaftaran ini membolehkan Gua Cha dilindungkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan Pelan Pemeliharaan Gua Cha (yang seharusnya meliputi kawasan Zon Teras dan juga Zon Penampan) mencegah sebarang aktiviti pembangunan di kawasan tersebut'.

Petikan di atas saya ambil sepenuhnya dari muka 27 Ringkasan Eksekutif UKM Pakarunding itu.

Apa pula cadangan UKM Pakarunding mengenai hal ini?

Antara lain UKM Pakarunding mencadangkan seperti berikut :

• 'Semasa aktiviti kuari dan pembalakan, ada kemungkinan tapak-tapak Neolitik yang terletak berhampitan sungai atau muara sungai akan ditemui.

• Aktiviti ini akan memusnahkan tapak-tapak arkeologi tersebut jika tiada pemantauan berterusan ketika kerja-kerja ini dilakukan.

• Sebarang aktiviti kuari yang melibatkan bukit-bukit yang mempunyai gua seharusnya dilaporkan terlebih dahulu kepada pakar arkeologi. Ini adalah untuk memastikan sama ada gua tersebut mempunyai potensi arkeologi ataupun tidak.

• Langkah-langkah mitigasi yang boleh dilakukan adalah pemantauan berterusan terhadap kemungkinan terbongkarnya tapak arkeologi terbuka di kawasan pembalakan dan aktiviti kuari.

(Ringkasan Eksekutif UKM Pakarunding Projek Empangan Nenggiri - muka surat 28)

Cadangan-cadangan ini sangat mustahak dipatuhi. Kecuali kita lebih mundur dari manusia zaman gua. Mereka mungkin lebih memahami nilai sejarah dengan meninggalkan lukisan-lukisan kuno di dinding-dinding gua di sini.

Pertanyaan kita sekarang : APA PERSIAPAN TNB, KERAJAAN KELANTAN, JABATAN WARISAN NEGARA DAN KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA UNTUK MEMATUHI CADANGAN PAKAR RUNDING INI?

Bersambung InsyaAllah.

Husam Musa

14 Jun 2022

#SaveKelantan

#SelamatkanKelantan