Menjelang 2015, sokongan bukan Melayu terhadap PAS semakin merosot
KUALA LUMPUR:
Selepas krisis menteri besar Selangor, isu Enakmen Kanun Jenayah
Syariah II 1993 di Kelantan yang mengandungi hukum hudud dan krisis
dalaman parti yang semakin parah, PAS sehingga hari ini, dilihat bakal
kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Lebih
memburukkan keadaan, PAS juga dilihat berpotensi besar untuk kehilangan
beberapa kerusi parlimen di Kelantan, Kedah, Terengganu, Perak, Pahang
dan Selangor.
Pengarah
Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomudin Bakar selain masalah dengan
pengundi bukan Melayu, PAS juga berdepan krisis dalam parti yang paling
teruk selepas PRU13.
Katanya,
Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat September lepas memperlihatkan betapa
krisis dalaman parti itu semakin meruncing dan membuatkan persepsi
terhadap parti Islam itu bertambah buruk.
"Pengundi
bukan Melayu yang sebelum ini menyokong PAS cenderung untuk tidak lagi
memberi undi kepada parti Islam itu dalam PRU14.
"PAS
bukan hanya perlu ubah persepsi mereka di mata pengundi bukan Melayu
tetapi perlu segera menyelesaikan masalah dalam parti yang paling teruk
setakat ini.
"Namun
ia bukan bermakna UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan mendapat manfaat
daripada situasi ini, sebaliknya pertarungan kedua parti bertambah
sengit," katanya dalam satu pertemuan bersama Astro AWANI.
UMNO, kata Hisomudin tidak boleh mengambil mudah situasi ini kerana pengundi melihat parti itu masih lagi tidak berubah.
Katanya,
pengundi bukan Melayu mungkin tidak akan bersungguh-sungguh untuk
keluar mengundi di kawasan yang mana berlakunya pertandingan melibatkan
calon PAS dan UMNO.
"Kawasan
yang mana terdapat pengundi bukan Melayu yang agak tinggi peratusannya,
yang melibatkan pertandingan antara PAS dan UMNO akan menghadapi
masalah penurunan sokongan bukan Melayu.
"Tidak
seperti PRU13, pengundi bukan Melayu ketika itu bersunguh-sungguh mahu
memastikan calon yang mewakili Pakatan Rakyat menang.
"Namun
situasi sama dijangkakan tidak akan berlaku lagi pada PRU14 nanti,
terutama melibatkan kawasan ditandingi PAS," katanya lagi.
Hisomudin
berkata, krisis menteri besar Selangor menyebabkan pengundi bukan
Melayu melihat PAS sebagai parti yang tidak mementingkan kesepakatan.
Katanya,
desas-desus yang mengatakan PAS mahu bekerjasama dengan UMNO untuk
membentuk kerajaan di Selangor membuatkan pengundi bukan Melayu hilang
kepercayaan terhadap PAS.
"Situasi
ketika itu ialah Pakatan Rakyat mahu menyingkirkan Tan Sri Khalid,
tetapi perkara itu berlanjutan dan pengundi bukan Melayu melihat PAS
mengambil keputusan untuk tidak sepakat.
"Dengan
cerita kerjasama dengan UMNO itu membuatkan pengundi bukan Melayu
merasakan bahawa PAS menikam rakan sendiri," jelas beliau.
Namun
Hisomudin menjelaskan, situasi ini mungkin berlaku sebaliknya jika
berlaku perubahan dalam kepimpinan PAS pada pemilihan parti itu tahun
depan.
Selain
itu, pemimpin PAS perlu bekerja keras untuk memulihkan sokongan
pengundi bukan Melayu supaya dan mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan
Rakyat.