Bank Dunia puji Belanjawan 2019
Bank Dunia menyambut baik keterangkuman Belanjawan 2019 yang disusun selaras dengan hala tuju dasar kerajaan baharu.
Pengurus Negara Bank Dunia Malaysia, Dr Firas Raad berkata belanjawan kali ini banyak memperlihatkan aspek berbeza terutama dalam jangka masa sederhana.
“Kami kagum dengan komitmen kepada pendidikan dan kami berfikir bahawa ini adalah sangat penting selepas melihat di mana negara ini berada.
“Dengan hasrat untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi, ia perlu melabur dengan cara di mana golongan kanak-kanak dapat belajar dengan lebih baik terutama dalam matematik dan sains,” katanya kepada Bernama News Channel hari ini.
Golongan kanak-kanak perlu mempunyai kemahiran tertentu untuk memastikan bahawa modal insan Malaysia akan berada dalam kedudukan yang benar-benar mampu mendorong negara ke arah tahap pendapatan yang lebih tinggi dan bersaing dengan jirannya.
Ketika mengulas mengenai cukai, beliau menjangkakan beberapa langkah-langkah percukaian seperti cukai tembakau, minuman keras dan cukai gula yang baharu akan membawa kepada perkembangan yang lebih positif.
“Saya fikir ini merupakan satu perkembangan baik kerana negara ini akan berhadapan dengan gelombang penuaan penduduk, dengan penuaan, akan datang segala macam penyakit kronik dan keadaan ini akan menjadi lebih kritikal, jadi kerajaan perlu melakukan banyak langkah bagi menangani cabaran ini,” katanya.
Bagaimanapun, mungkin terdapat kesan-kesan jangka pendek pada pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan dengan industri minuman, katanya