‘Bajet pertahanan kurang tetapi cukup jika diguna secara betul’
Kementerian Pertahanan akan menggunakan peruntukan Belanjawan 2019 dengan bijak bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada dalam kesiapsagaan tertinggi menjaga keselamatan negara.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ketika ditemui pemberita di Parlimen berkata ATM akan mencari jalan terbaik memastikan peruntukan diberi digunakan sebaik mungkin tanpa menjejaskan penugasan dan operasi ATM.
Sebanyak RM5.9 bilion peruntukan pembangunan diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri untuk mempertingkatkan keselamatan dalam negeri dan pertahanan negara.
Sementara itu, Panglima ATM Jen Zulkifli Zainal Abidin dalam kenyataan di laman rasmi Instagram kementerian itu, berkata ATM amat positif dalam Belanjawan 2019 yang diperuntukan kepada ATM sebentar tadi, ia termasuk dari segi perolehan aset dan isu-isu berkaitan hal ehwal kebajikan anggota serta pesara tentera.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Veteran ATM, Laksamana (B) Anwar Mohd Nor mengalu-alukan pemberian bantuan kewangan kepada veteran ATM serta tidak meminggirkan mereka.
“Bantuan kewangan seperti RM500 secara one-off kepada pesara berkelayakan yang menerima pencen kurang RM1,000 dan bayaran khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan hujung tahun ini akan dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung golongan berkenaan,” kata Anwar ketika dihubungi.
Bagi pesara tentera, Arjunaidi Ariffin, 56, menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana memahami keluhan rakyat dengan memberikan insentif sebanyak RM250 kepada setiap pesara kerajaan.
“Alhamdulillah, syukur atas pemberian yang akan disalurkan, jika sebelum ini, kami menerima bonus pada bulan Januari, namun kali ini pemberian sumbangan akan diberikan pada hujung tahun ini,” katanya.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pula berkata beliau menyambut baik langkah kerajaan khasnya untuk membaik pulih kemudahan kediaman anggota seperti kuarters polis.
“Kebajikan anggota perlu diambil perhatian dan kita lihat kerajaan memahami apa yang diperlukan dan utama iaitu tempat tinggal yang baik dan selesa,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.