Mengikut dakwaan pemimpin Pakatan, Najib khuatir akan dikhianati oleh timbalannya, Muhyiddin (kiri). — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 2 Dis — Pakatan Rakyat mendakwa langkah penangguhan pemilihan Umno walaupun dilihat satu proses lazim dilakukan menjelang pilihan raya umum, tetapi dipercayai menunjukkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak masih berhadapan dengan “konflik” dalaman parti teras Barisan Nasional (BN) itu.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib mungkin takut hilang sokongan sebagai Presiden Umno sekiranya pemilihan secara langsung dilaksanakan seperti yang dijadualkan awal tahun depan.
Ini kerana menurut beliau, dasar liberalisasi politik dan ekonomi yang diperkenalkan Najib sejak menjadi Perdana Menteri April tahun lalu seakan menggamit protes senyap daripada akar umbi Umno sendiri.
“Najib sebenarnya nak pastikan bahawa selepas pilihan raya umum ke-13 nanti, beliau kekal sebagai Perdana Menteri.
“Mungkin selepas beberapa dasar liberalisasi ekonomi dan politik yang dilaksanakannya sebelum ini dia (Najib berasa) sedang menerima protes dalaman Umno sendiri.
Ditambah dengan karisme Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno yang dilihat tegar mempertahan kepentingan Melayu serta pernah mempersoal hala tuju gagasan “1 Malaysia” Najib sebelum ini, Mahfuz yakin bahawa pertimbangan politik Najib kian mencemaskan sekarang.
“Najib mungkin bertambah cemas apabila akar umbi Umno melihat Muhyiddin sekarang lebih ‘Umno’ daripada Najib.
Mahfuz berkata pendirian Muhyiddin bercanggah dengan gagasan 1 Malaysia Najib.
“Najib menghitung semua ini sekarang kerana jika diadakan juga pemilihan (agung Umno) juga boleh menyebabkan beliau (Najib) hilang jawatan dalam parti (presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional) dan dalam kerajaan (perdana menteri),” katanya.
Tambah Mahfuz, Najib sendiri mungkin yakin bahawa BN kekal mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum depan berdasarkan beberapa perubahan politik yang ditempuhi oleh PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.
Disebabkan itu, Mahfuz berkata, Najib tidak mahu dikhianati oleh Muhyiddin pada ketika rakyat menyokong Umno dan BN.
“Kalau Barisan Nasional kekal memerintah selepas pilihan raya umum nanti, mungkin Najib mempunyai kekuatan politik untuk mempertahankan jawatannya (presiden Umno) dari dikhianati oleh kem Muhyiddin, bagaimana kalau Najib kalah (jika pemilihan agung Umno 2011 diadakan) sekarang.
Pun begitu, sekiranya Umno dan BN ditolak rakyat nanti, mungkin Najib sendiri pasrah sekiranya akar umbi parti menolaknya pada pemilihan tersebut.
“Kalau Barisan Nasional kalah pada pilihan raya umum depan, mungkin tidak masalah bagi Najib (jika hilang kepercayaan sebagai Presiden Umno),” ujar Mahfuz ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Justeru, Mahfuz menegaskan bahawa penangguhan pemilihan agung Umno 2011 demi menghadapi pilihan raya umum yang dijangka awal tahun depan, bukanlah untuk membuat persiapan jentera Umno dan BN.
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang yang lebih dikenali sebagai Tian Chua turut berpendapat bahawa Najib takut untuk menghadapi Pakatan Rakyat, khususnya PKR yang kononnya kian kecoh lagi lemah pascapemilihan peringkat cabang dan pusat baru-baru ini.
“Kalau pentadbiran Najib cukup kuat, kenapa takut nak menghadapi pilihan raya umum ke-13 dalam senario mereka (Barisan Nasional) menganggap Pakatan Rakyat semakin lemah dan PKR hilang kepercayaan rakyat.
“Walaupun Muhyiddin menafikan bahawa penangguhan itu tiada kaitan dengan pilihan raya umum, tafsiran yang paling kuat begitulah kerana Najib takut,” ujar Tian Chua yang juga Pengarah Strategi PKR.
Kata Ahli Parlimen Batu ini, penangguhan pemilihan agung Umno 2011 tersebut mungkin disebabkan Najib tidak berupaya lagi menangani konflik dalaman antara Umno dan parti-parti komponen BN yang lain.
“Ketakutan kali ini ketara apabila Najib tidak lagi berupaya selesaikan konflik dalaman dalam Barisan Nasional serta memenuhi tuntutan rasis dari pertubuhan-pertubuhan tertentu, yang sebenarnya adalah daripada kalangan mereka (penyokong Umno).
“Najib masih Perdana Menteri, mengetuai sebuah kerajaan yang sudah tentu mempunyai kuasa politik dalam kerajaan serta boleh menggunakan semua media arus perdana, tetapi Najib tetap takut kerana masalah dalaman Umno dan Barisan Nasional tidak diselesaikan lagi,” ujar beliau.
Tian Chua turut tidak menolak kemungkinan bahawa Najib takut dikhianati oleh akar umbi parti termasuk Muhyiddin sendiri jika pemilihan agung Umno 2011 diteruskan juga pada awal tahun depan.
“Najib tak mahu teruskan (pemilihan agung Umno 2011) seoalah-olah memperlihatkan dia cukup takut dan tidak yakin dengan kesetiaan ahli-ahli Umno khususnya mereka yang menyokong Muhyiddin akan berpaling tadah,” beliau menambah.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M. Kulasegaran pula (kanan) berkata, penangguhan pemilihan agung Umno 2011 itu merupakan “titik kelemahan” yang cuba diselesaikan oleh Najib.
“Ini menunjukkan Perdana Menteri mengambil kesempatan pada ‘titik kelemahan’ yang dihadapi oleh Umno dan Barisan Nasional ketika ramai orang mempertikai pentadbiran beliau di (peringkat) pusat dan negeri-negeri yang ditadbir Barisan Nasional seperti Perak.
“Beliau berasa tidak senang hati dengan membuat penangguhan (pemilihan agung Umno 2011) ini yang sekali gus menyebabkan beliau tidak mahu menghadapi musuh-musuh partinya (Pakatan Rakyat).
“Waktu menjadi Perdana Menteri popularitinya 40 peratus, sepatutnya sekarang beliau lebih yakin kerana popularitinya dikatkan 80 peratus... mengapa perlu takut pada pembangkang,” ujar Kulasegaran ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat itu lagi, perasaan takut itu sekali gus menggambarkan bahawa Najib sendiri tidak percaya dengan ramalan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu BN mampu merampas satu atau dua negeri daripada Pakatan Rakyat tetapi gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihan raya umum depan.
“Dr Mahathir yang macam bomoh itu kata Barisan Nasional akan bertambah baik dan mampu menang, Najib nampaknya ada masalah untuk mempercayai perkara karut itu,” ujarnya lagi.
Jelas Kulasegaran, Najib mungkin tidak yakin dengan sokongan pengundi atas pagar yang pernah menyokong Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008 akan kembali semula kepada BN kelak.
Kali pertama Majlis Tertinggi Umno menunda pemilihan parti ialah pada 1999 sebelum pilihan raya umum tahun itu.
Untuk menghadapi pilihan raya umum lalu, Umno turut menangguhkan pemilihan agung parti itu.