Najib: PRU-13 ‘boleh jadi awal atau mungkin lewat, biasalah’

Najib: PRU-13 ‘boleh jadi awal atau mungkin lewat, biasalah’

December 02, 2010

PHNOM PENH, 2 Dis —Sokongan rakyat kepada Barisan Nasional semakin pulih setelah kerajaan menunaikan janji-janji pilihan rayanya dan komitmen yang diberikan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata tanda-tanda awal juga menunjukkan bahawa rakyat menerima baik pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan BN bagi memenuhi kehendak dan harapan mereka.

“Apabila kita kotakan janji-janji pilihan raya dan komitmen kita, kewibawaan kita, dari kaca mata rakyat, sudah meningkat,” katanya dalam ucap utama pada perhimpunan agung keenam Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) di sini hari ini.

Najib (gambar) , yang juga Pengerusi BN, berkata keputusan sebenar sama ada BN telah memenuhi harapan rakyat akan hanya diketahui daripada keputusan pilihan raya umum akan datang.

Bercakap pada sidang akhbar kemudian apabila ditanya sama ada BN boleh merasa lega sekarang hasil daripada petanda-petanda awal itu, beliau berkata BN tidak boleh berasa lega sekarang, sebaliknya perlu bekerja lebih keras lagi.

Ditanya mengenai pilihan raya umum akan datang berikutan petanda-petanda awal tersebut, Najib berkata: “Itu bukan petanda awal tapi ia (pilihan raya umum) boleh jadi awal, boleh jadi lewat... biasalah.”

Menjawab soalan lain, Najib berkata: “Keputusan muktamad... bila sampai masanya, boleh jadi cepat, boleh jadi lambat. Biasalah.”

Ketika berucap pada perhimpunan agung itu mengenai usaha BN mendapatkan balik sokongan rakyat yang terjejas semasa pilihan raya umum 2008, Perdana Menteri berkata BN perlu menunaikan segala janjinya dan perlu juga dilihat sebagai memenuhi semua keperluan rakyat.

Najib berkata tugas pertamanya apabila mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009, adalah untuk melaksanakan komitmen Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan di bawah gagasan 1 Malaysia.

Sejak itu, katanya, kerajaan BN telah membuka Klinik 1Malaysia bagi menyediakan bantuan dan perkhidmatan perubatan percuma kepada rakyat, dan biasiswa 1 Malaysia kepada pelajar cemerlang tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya pelbagai skim dan program untuk meningkatkan mutu kehidupan golongan berpendapatan rendah dan bagi membasmi juga diperkenalkan. — Bernama

Di mana Umno kuat, di situ Melayu merempat

Di mana Umno kuat, di situ Melayu merempat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, sebenarnya slogan Umno ‘Hidup Melayu’ perlu ditukar kepada slogan sebaliknya iaitu ‘Di mana Umno Kuat, Di situ Melayu Merempat’.

Ini, katanya kerana banyak kawasan tanah milik orang Melayu disebabkan Umno.

Katanya, pengkhianatan Umno kepada orang Melayu telah berjaya menghilangkan tanah rezab Melayu dari 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995).

Ini, katanya bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun.

“Nampaknya penjajah lebih berhati perut daripada pemimpin Umno dalam menjaga orang Melayu.

“Kalau tidak disekat, maka tahun 2020 tanah rezab Melayu hanya tinggal 30% sahaja,” ujarnya.

Tambahnya, pada 13 Jun 2008 akhbar Utusan Malaysia) melaporkan penduduk sekitar daerah Kota Tinggi, kecewa dengan tindakan pejabat tanah menolak permohonan mereka mendapatkan tanah seluas 182.11 hektar di Batu 15 Jalan Kulai, Mukim Ulu Sungai Johor.

Tanah yang sudah dipohon sejak 20 tahun dahulu telah diberi kepada syarikat bukan bumiputera.

“Ini siapa punya angkara? Pakatan Rakyat atau Umno?” soalnya.

Di samping itu, menurutnya, Umno sebagai tonggak BN akan membuat apa sahaja untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya.

“Semua diktator di dunia, perkara yang paling mereka gerun ialah seksa di dunia, iaitu hilang kuasa.

“Pemimpin Umno semakin gelisah untuk menghadapi hari-hari tua yang berada di hujung senja,” ujarnya.

Katanya, puas mereka memutar isu untuk meyakinkan rakyat walaupun terkena di batang hidung mereka melalui pendekatan matlamat menghalalkan cara.

Tambahnya, isu yang rancak dimainkan di dalam media ialah isu Melayu semakin terhakis kerana Pakatan Rakyat semakin kuat, dan Umno pula tidak larat.

Mereka, katanya menggunakan media televisyen terutamanya untuk menggambarkan bahawa yang boleh menjaga kepentingan Melayu dan Islam ialah Umno.

“Pemimpin Umno silap, dunia sudah berubah dan rakyat sudah celik sejarah terutama mereka yang terpelajar.

“Mereka yang buta maklumat semakin pupus di atas dunia ini, insya Allah generasi yang celik maklumat akan membuat perhitungan dengan pemimpin Umno,” katanya.

Tegasnya, generasi itu tidak akan membiarkan setengah abad kedua negara ini diperintah oleh perakus harta negara yang merompak secara terhormat.

ZAHRAIN HARUS BERTAUBAT

Kenyataan Ketua Cabang Bayan Baru YB Sim Tze Tzin berkenaan kenyataan Zahrain.

1hb December 2010

Parti Keadilan Rakyat Cabang Bayan Baru berasa kesal ke atas kenyataan Dato Seri Zahrain yang mendesak pingat Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri Dr Wan Azizah ditarik balik.


KEADILAN Bayan Baru berpendapat bahawa ini adalah politik murahan Zahrain yang sekarang ini menjadi pencacai UMNO dan Barisan Nasional. Beliaulah pengkhianat besar dalam sejarah politik Malaysia.


Beliau mengkhianati mandat rakyat yang diberikan kepada beliau sebagai ahli Parlimen KEADILAN dengan melompat keluar parti. Beliau mengkhianati prinsip perjuangan KEADILAN yang memperjuangkan politik pelbagai kaum dan keadilan untuk semua. Beliau mengkhianati rakyat kerana tidak lagi bekerja untuk kawasan Bayan Baru tetapi lebih ghairah mengikut Dato Seri Najib ke Amerika Syarikat. Beliau mengkhianati pingat “Dato Seri” yang dianugerahkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang berprinsipkan politik pelbagai kaum.


Kalau ingin dipertikaikan kelayakan penerimaan pingat, Zahrain harus dilucutkan pingat beliau terdahulu.


KEADILAN Bayan Baru walau bagaimanapun tidak ingin memperlekehkan isu pingat. Pingat penghargaan adalah hak dan kuasa Raja-Raja serta Yang Dipertua – Yang Dipertua Negeri.


KEADILAN Bayan Baru ingin mengingatkan semua pemimpin UMNO-Barisan Nasional dan juga Zahrain jangan memainkan sentimen perkauman sempit. Jangan jadi jaguh kampung melaung-laungkan sentimen perkauman tetapi menggadaikan negara.


KEADILAN memperjuangkan prinsip “Ketuanan Rakyat” dan Keadilan untuk Semua. “Ketuanan Melayu” adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdayakan orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri. Mereka adalah pimpinan UMNO yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi.


Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib kelompok ramai Melayu, Bumiputra Sabah dan Sarawak, India, Orang Asli dan Cina masih tetap terabai. Pakatan Rakyat akan terus berjuang membela nasib semua rakyat Malaysia yang terpinggir bukan pembesar-pembesar UMNO-BN.


Zahrain harus bertaubat. Kalau beliau betul-betul memperjuangkan hak Melayu, mengapa pula lompat parti akibat tidak dapat kontrak, sedangkan ramai lagi rakyat yang susah di kawasan Parlimen Bayan Baru? Apakah program dan khidmat yang beliau lakukan kepada rakyat sejak menjadi ahli Parlimen?


YB Sim Tze Tzin

Ketua Cabang Bayan Baru, Parti KEADILAN

Tangguh pemilihan: Najib perlu masa selesai ‘konflik’ dalaman Umno, dakwa Pakatan

Tangguh pemilihan: Najib perlu masa selesai ‘konflik’ dalaman Umno, dakwa Pakatan

December 02, 2010
Mengikut dakwaan pemimpin Pakatan, Najib khuatir akan dikhianati oleh timbalannya, Muhyiddin (kiri). — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 2 Dis — Pakatan Rakyat mendakwa langkah penangguhan pemilihan Umno walaupun dilihat satu proses lazim dilakukan menjelang pilihan raya umum, tetapi dipercayai menunjukkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak masih berhadapan dengan “konflik” dalaman parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib mungkin takut hilang sokongan sebagai Presiden Umno sekiranya pemilihan secara langsung dilaksanakan seperti yang dijadualkan awal tahun depan.

Ini kerana menurut beliau, dasar liberalisasi politik dan ekonomi yang diperkenalkan Najib sejak menjadi Perdana Menteri April tahun lalu seakan menggamit protes senyap daripada akar umbi Umno sendiri.

“Najib sebenarnya nak pastikan bahawa selepas pilihan raya umum ke-13 nanti, beliau kekal sebagai Perdana Menteri.

“Mungkin selepas beberapa dasar liberalisasi ekonomi dan politik yang dilaksanakannya sebelum ini dia (Najib berasa) sedang menerima protes dalaman Umno sendiri.

Ditambah dengan karisme Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno yang dilihat tegar mempertahan kepentingan Melayu serta pernah mempersoal hala tuju gagasan “1 Malaysia” Najib sebelum ini, Mahfuz yakin bahawa pertimbangan politik Najib kian mencemaskan sekarang.

“Najib mungkin bertambah cemas apabila akar umbi Umno melihat Muhyiddin sekarang lebih ‘Umno’ daripada Najib.

Mahfuz berkata pendirian Muhyiddin bercanggah dengan gagasan 1 Malaysia Najib.
“Najib menghitung semua ini sekarang kerana jika diadakan juga pemilihan (agung Umno) juga boleh menyebabkan beliau (Najib) hilang jawatan dalam parti (presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional) dan dalam kerajaan (perdana menteri),” katanya.

Tambah Mahfuz, Najib sendiri mungkin yakin bahawa BN kekal mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum depan berdasarkan beberapa perubahan politik yang ditempuhi oleh PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Disebabkan itu, Mahfuz berkata, Najib tidak mahu dikhianati oleh Muhyiddin pada ketika rakyat menyokong Umno dan BN.

“Kalau Barisan Nasional kekal memerintah selepas pilihan raya umum nanti, mungkin Najib mempunyai kekuatan politik untuk mempertahankan jawatannya (presiden Umno) dari dikhianati oleh kem Muhyiddin, bagaimana kalau Najib kalah (jika pemilihan agung Umno 2011 diadakan) sekarang.

Pun begitu, sekiranya Umno dan BN ditolak rakyat nanti, mungkin Najib sendiri pasrah sekiranya akar umbi parti menolaknya pada pemilihan tersebut.

“Kalau Barisan Nasional kalah pada pilihan raya umum depan, mungkin tidak masalah bagi Najib (jika hilang kepercayaan sebagai Presiden Umno),” ujar Mahfuz ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Justeru, Mahfuz menegaskan bahawa penangguhan pemilihan agung Umno 2011 demi menghadapi pilihan raya umum yang dijangka awal tahun depan, bukanlah untuk membuat persiapan jentera Umno dan BN.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang yang lebih dikenali sebagai Tian Chua turut berpendapat bahawa Najib takut untuk menghadapi Pakatan Rakyat, khususnya PKR yang kononnya kian kecoh lagi lemah pascapemilihan peringkat cabang dan pusat baru-baru ini.

“Kalau pentadbiran Najib cukup kuat, kenapa takut nak menghadapi pilihan raya umum ke-13 dalam senario mereka (Barisan Nasional) menganggap Pakatan Rakyat semakin lemah dan PKR hilang kepercayaan rakyat.

“Walaupun Muhyiddin menafikan bahawa penangguhan itu tiada kaitan dengan pilihan raya umum, tafsiran yang paling kuat begitulah kerana Najib takut,” ujar Tian Chua yang juga Pengarah Strategi PKR.

Kata Ahli Parlimen Batu ini, penangguhan pemilihan agung Umno 2011 tersebut mungkin disebabkan Najib tidak berupaya lagi menangani konflik dalaman antara Umno dan parti-parti komponen BN yang lain.

“Ketakutan kali ini ketara apabila Najib tidak lagi berupaya selesaikan konflik dalaman dalam Barisan Nasional serta memenuhi tuntutan rasis dari pertubuhan-pertubuhan tertentu, yang sebenarnya adalah daripada kalangan mereka (penyokong Umno).

“Najib masih Perdana Menteri, mengetuai sebuah kerajaan yang sudah tentu mempunyai kuasa politik dalam kerajaan serta boleh menggunakan semua media arus perdana, tetapi Najib tetap takut kerana masalah dalaman Umno dan Barisan Nasional tidak diselesaikan lagi,” ujar beliau.

Tian Chua turut tidak menolak kemungkinan bahawa Najib takut dikhianati oleh akar umbi parti termasuk Muhyiddin sendiri jika pemilihan agung Umno 2011 diteruskan juga pada awal tahun depan.

“Najib tak mahu teruskan (pemilihan agung Umno 2011) seoalah-olah memperlihatkan dia cukup takut dan tidak yakin dengan kesetiaan ahli-ahli Umno khususnya mereka yang menyokong Muhyiddin akan berpaling tadah,” beliau menambah.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan M. Kulasegaran pula (kanan) berkata, penangguhan pemilihan agung Umno 2011 itu merupakan “titik kelemahan” yang cuba diselesaikan oleh Najib.

“Ini menunjukkan Perdana Menteri mengambil kesempatan pada ‘titik kelemahan’ yang dihadapi oleh Umno dan Barisan Nasional ketika ramai orang mempertikai pentadbiran beliau di (peringkat) pusat dan negeri-negeri yang ditadbir Barisan Nasional seperti Perak.

“Beliau berasa tidak senang hati dengan membuat penangguhan (pemilihan agung Umno 2011) ini yang sekali gus menyebabkan beliau tidak mahu menghadapi musuh-musuh partinya (Pakatan Rakyat).

“Waktu menjadi Perdana Menteri popularitinya 40 peratus, sepatutnya sekarang beliau lebih yakin kerana popularitinya dikatkan 80 peratus... mengapa perlu takut pada pembangkang,” ujar Kulasegaran ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat itu lagi, perasaan takut itu sekali gus menggambarkan bahawa Najib sendiri tidak percaya dengan ramalan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu BN mampu merampas satu atau dua negeri daripada Pakatan Rakyat tetapi gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihan raya umum depan.

“Dr Mahathir yang macam bomoh itu kata Barisan Nasional akan bertambah baik dan mampu menang, Najib nampaknya ada masalah untuk mempercayai perkara karut itu,” ujarnya lagi.

Jelas Kulasegaran, Najib mungkin tidak yakin dengan sokongan pengundi atas pagar yang pernah menyokong Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008 akan kembali semula kepada BN kelak.

Kali pertama Majlis Tertinggi Umno menunda pemilihan parti ialah pada 1999 sebelum pilihan raya umum tahun itu.

Untuk menghadapi pilihan raya umum lalu, Umno turut menangguhkan pemilihan agung parti itu.