MB : Wang RM2.71 Bilion Milik Rakyat, Bukan Milik BN



KUALA SELANGOR, 24 DISEMBER : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak perlu mendabik dada kononnya menyalurkan peruntukan yang besar untuk projek pembangunan di Selangor kerana wang tersebut adalah milik wang rakyat yang membayar cukai.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM2.71 bilion bagi melaksanakan projek-projek pembangunan di Selangor.

Justeru, menyebabkan pemimpin Pakatan Rakyat Selangor memberikan reaksi dengan menggesa wang berkenaan disalurkan terus kepada kerajaan Selangor untuk membela kebajikan rakyat dan bukan untuk digunakan demi kepentingan politik Umno dan Barisan Nasional.

"Ini adalah duit pembayar cukai dan bukan duit parti Barisan Nasional, wang RM2.71 bilion itu adalah untuk prasarana dan pembangunan infrastruktur dan saya rasa masalah terbesar dalam pentadbiran Barisan Nasional dia tidak boleh menjalankan projek dengan harga yang terbaik," kata Abdul Khalid yang ditemui TVSelangor selepas program Jom Shopping anjuran Dun Ijok di Pasaraya Econsave Alam Perdana di sini.

Menurut Menteri Besar, sewajarnya Kerajaan Persekutuan mengambil contoh pengurusan kewangan dan pelaksanaan projek kerajaan negeri yang menekankan konsep nilai wang atau 'value for money' untuk mengelakkan pembaziran wang rakyat.

"Seumpamanya sebagai contoh kerajaan negeri menjalankan program Jom Shopping, kita mengeluarkan kos untuk seorang peserta ialah RM100 yang mana terus diberikan kepada peserta tersebut, tetapi apabila Barisan Nasional membuat program, dia melalui perantara.

"Kalau projek itu sepatutnya sampai kepada pengguna ialah RM100, tetapi kos untuk pengoperasian, ia semakin bertambah antara RM50 sehingga RM100 lagi, jadi maknanya kos keseluruhannya ialah RM200. Maka pembayar cukai terpaksa membayar kos tambahan sebanyak RM100 lagi untuk kos pengurusan yang tidak diperlukan," tegas Abdul Khalid.

Abdul Khalid juga mempersoalkan pelaksanaan projek-projek penswastaan Kerajaan Persekutuan dengan kos yang terlalu tinggi sedangkan kesannya terhadap membela kebajikan rakyat dipersoalkan.

"Contohnya lagi, seperti projek untuk pemeliharaan lembu ataupun National Fidlot Corporation (NFC), untuk mendapatkan lembu pun kosnya adalah RM250 juta, ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional tidak sensitif tentang penggunaan wang rakyat," katanya.

Beliau juga mempersoalkan pengendalian peruntukan wang rakyat untuk skim insentif peningkatan hasil padi dan subsidi padi kepada petani yang mana dipersoalkan golongan petani dan pesawah berhubung pengendaliannya yang didakwa tidak telus.

"Jadi Noh Omar kena tengok juga kos untuk mengendalikan subsidi padi, adakah kesemua peruntukan itu kembali kepada rakyat, itu pun kerajaan negeri akan menjalankan penyelidikan berhubung perkara tersebut," katanya.

Bukan saya jumpa pemimpin Umno tapi Mustafa Ali’ jawab Hasan

‘Bukan saya jumpa pemimpin Umno tapi Mustafa Ali’ jawab Hasan


December 24, 2011
KUALA LUMPUR, 24 Dis — Datuk Dr Hasan Ali menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dibuat Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bahawa beliau ada mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak yang dikaitkan dengan Umno.
Menurut Hasan, bekas pesuruhjaya PAS Selangor dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya merupakan fitnah dan palsu.
Beliau juga melahirkan rasa kesal kerana dakwaan itu dibuat oleh setiausaha agung kepada parti yang berteraskan Islam.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai pertemuan saya dengan mereka (Umno) sama ada pimpinan Umno peringkat bawahan, pertengahan atau atasan seperti yang dinyatakan (Mustafa).
“Sekali lagi Mustafa Ali (gambar) terperangkap dengan prasangka buruk dan api fitnah sesama Muslim. Sebagai setiausaha agung sebuah parti yang berteraskan Islam, tuduhan-tuduhan liar dan serkap jarang seperti itu tidak selayaknya keluar dari mulut seorang setiausaha agung yang berwibawa,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini.
Mustafa sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Hasan dengan agenda Umno.
Mustafa berkata ia merujuk kepada satu pertemuan antara Hasan, bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan tiga individu lain di sebuah hotel di ibu negara pada bulan Ramadan lepas.
Dalam sidang media itu, Hasan yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor mendedahkan individu yang kerap mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno adalah Mustafa.
“Malah terdapat permohonan daripada setiausaha agung sendiri untuk bertemu dengan seorang pemimpin tertinggi Umno yang sehingga kini setakat saya maklum belum dapat diadakan,” katanya.
Enggan mengulas lanjut mengenai pendedahan itu, Hasan berkata kepimpinan tertinggi PAS sepatutnya menjalankan siasatan mengenai perkara itu.
“Saya hendak berhenti setakat itu seperti mana Datuk Mustafa a Ali berhenti dari menuduh saya bertemu dengan pemimpin Umno di Hotel Meridien dan ‘stop-short’ di situ.
“Kalau misalnya, nak tanya lebih lanjut, saya pulangkan kepada pimpinan (PAS) untuk buat siasatan lanjut. Kalau nak siasat pertemuan saya, siasatan sama juga harus dilakukan kepada pertemuan setiausaha agung dan pemimpin Umno,” katanya. Sumber: TMI

Peneroka Asal Kg Seri Aman Diberi Geran Tanah

SHAH ALAM 24 DIS : Seramai 111 peneroka asal Kampung Seri Aman, Ijok, akan menerima geran tanah yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Selangor selepas majoriti peneroka ini menolak cadangan pembangunan semula yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri.


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemberimilikan tanah ini akan dibuat berdasarkan susun atur yang mengambil kira keperluan tapak untuk pembinaan jalan, longkang , rumah ibadat dan kemudahan lain dan selepas selesai dijalankan penyusunan semula senarai pemohon yang tinggal di atas tanah milik pemohon lain.

Katanya, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) akan menyediakan pelan yang telah diukur yang mana kosnya ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"Apabila semua peneroka terlibat bersetuju dengan pelan susun atur, notis 5A akan dikeluarkan kepada mereka yang berhak. Geran tanah kemudiannya akan dikeluarkan selepas peneroka membayar premium tanah sebanyak RM1,000," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan peneroka terlibat di pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor di sini.

Kesemua 111 peneroka ini akan menerima tanah seluas 4,000 kaki persegi yang bernilai RM5 sekaki persegi. Peneroka yang layak tetapi tidak mahu tinggal di atas tanah tersebut, Kerajaan Negeri akan membelinya dengan harga RM20,000.

Untuk mengelakkan spekulasi penjualan tanah serta melindungi hak peneroka, Kerajaan Negeri akan mengenakan sekatan yang mana peneroka yang diberi geran tanah tidak boleh menjual tanah tersebut dalam tempoh tiga tahun.

"Jika kesemua 111 peneroka bersetuju untuk menerima tawaran ini, Notis 5A akan dikeluarkan pada minggu kedua Januari hadapan," katanya lagi.

Bagi mereka yang tidak tersenarai pula, boleh membelinya dengan harga RM20,000 tetapi perlu membuat permohonan kepada Pejabat Tanah Kuala Selangor.

"Wang ini akan digunakan untuk membaiki infrastruktur seperti longkang bagi mengelak berlakunya banjir dan membina kemudahan asas seperti jalan dan lampu," kata Menteri Besar.

Beliau juga mengarahkah Pejabat Daerah untuk mengedarkan risalah penerangan dalam Bahasa Melayu dan Tamil agar mereka benar-benar memahami tawaran sebelum membuat keputusan.

Masalah berlanjutan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk Kg Seri Aman ini berpunca daripada keputusan berubah-ubah pentadbiran Kerajaan Negeri yang terdahulu. Antara 2001 hingga 2007, Kerajaan Negeri terdahulu telah menukar pendirian sebanyak empat kali dalam membuat keputusan berhubung pembangunan tanah lot itu.

Pada 16 Januari 2001, Kerajaan Negeri telah meluluskan Cadangan Pembangunan Secara Penswastaan di atas tanah tersebut kepada Westmine Development Sdn Bhd (Westmine) tetapi keputusan itu ditarik balik pada 26 Oktober 2005.

Tetapi pada 18 Oktober 2006, Kerajaan Negeri mengubah keputusan dengan membenarkan Westmine meneruskan kerja tetapi pada 2007, Kerajaan Negeri sekali lagi mengubah keputusan dengan membatalkan projek pembangunan penswastaan kepada Westmine sebaliknya meluluskan pemberimilikan tanah kepada pemohon di kawasan tersebut.

Bagaimanpun, notis 5A untuk pemilikan tanah tidak dikeluarkan kepada mereka.

Akibatnya, Westmine telah menfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri pada 15 Julai 2008. Dalam tempoh ini. Kerajaan Negeri tidak boleh meneruskan pembangunan tanah atau mengeluarkan geran tanah tanah kepada peneroka.

Selepas, mahkamah telah membuat keputusan berpihak kepada Kerajaan Negeri, barulah kerajaan negeri dapat membuat keputusan tentang status tanah di kampung tersebut.

Mohamad Sabu: Hasan Ali Tidak Akur Keputusan Muktamar

SHAH ALAM, 23 DIS: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menganggap tindakan Bekas Pesuruhjaya PAS, Selangor, Datuk Dr Hasan mengkritik Dasar Negara Kebajikan yang menjadi pokok perbahasan ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan PAS lalu sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip parti.

Dalam satu temubual bersama TV Selangor, beliau berkata Pas mendasari perjuangan kesepakatan, dan bersendikan panduan Majlis Syura Ulama selama lebih 60 tahun bertarung dalam arena politik tanahair.

"Kita yang berada dalam kumpulan itu boleh mencurahkan pandangan dalam mesyuarat. Dalam mesyuarat kadangkala berlaku ketegangan, meninggikan suara,mempertahankan hujah adalah perkara biasa.

Tetapi bila secara umum satu pandangan diterijma sebagai pandangan Pas Pusat, maka tugas kita adalah mematuhi keputusan.

Saya amat kesal kalau ada di kalangan pimpinan Jawatankuasa Pas Pusat yang ada saluran untuk mencurahkan idea dalam mesyuarat tetapi mencurahkan idea di luar mesyuarat terutamanya kepada media yang selamanya tidak senang dengan parti Islam,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keluh-kesah bekas Persuruhjaya Pas Selangor Dr Hassan Ali yang mendapat liputan meluas media pro-Barisan Nasional, serta kritikan berbalas-balas antara bekas pakar motivasi itu dan pemimpin lain dalam Pas.

Menjawab tuduhan Pas telah menyeleweng dari landasan Islam, Mohammad Sabu menambah mana-mana ahli Pas, khususnya yang pernah menduduki jawatankuasa kerja pusat seperti Dr Hassan Ali sedia maklum bahawa keputusan yang disepakati pasti dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Syura Ulama.

Majlis Syura ini dianggotai oleh pemikir-pemikir Islam yang tidak diragui wibawa dan ketokohan mereka. Ditubuhkan sejak 1983, majlis ini terkenal dengan pantauan ketatnya keatas

strategi dan pembikinan dasar parti bagi memastikan ia selaras dengan kitab suci Islam.

"Saya hairan mengapa negara kebajikan dijadikan isu sedangkan negara kebajikan adalah diluluskan di muktamar. Itu ucapan dasar Presiden [Abdul Hadi Awang]. Kita
sebagai ahli harus akur kerana ia keputusan muktamar, bukan keputusan individu,"katanya.

Meneruskan hujahnya, Mohammad Sabu berkata Negara Kebajikan ini disepakati semua pucuk pimpinan parti sebagai penegasan semula komitmen Pas kepada perjuangan politik Islam.

"Perjuangan untuk menegakkan negara kebajikan dalamnya terkandung negara Islam itu sendiri. Ini bukan perkara baru, telah beberapa tahun kita tekankan negara kebajikan ini.

Cuma tahun ini kita pertegaskan lagi iaitu pembentukan negara yang diisytihar Allah sebagai negara yang bentuknya baik (untuk semua), berkebajikan dan mendapat pengampunan Tuhan.

Umumnya diceritakan dalam negara kebajikan, tetapi syarahnya dijelaskan dalam buku jingga. misalnya dalam negara kebajikan tidak dijelaskan berapa elaun yang patut diberi pada kaum buruh bulan-bulan.

Negara kebajikan hanya ditekankan dasar umum iaitu kerajaan bertanggungjawab memberi keselesaan kepada rakyat, tetapi butirannya terdapat dalam buku jingga,"katanya

Mengenang semula perjuangan 60 tahun Pas, Mohammad Sabu berkata setiap ahli Pas harus akui bahawa Pas adalah parti yang kuat walaupun pernah dikhianati oleh Barisan Nasional semasa penggabungan dua parti itu pada era 70-an.

Walaupun begitu kekuatan Pas terhad di Kelantan dan Terengganu sahaja sehinggalah wujud kesepakatan kelompok masyarakat sedar untuk bersama menumbangkan Barisan Nasional.

"Sebenarnya parti Islam ini kuat, tetapi di sudut pilihanraya sudah 11 kali ia bertapak di Kelantan dan Terengganu bergilir-ganti, bahkan tidak berupaya menguasai Kedah.

Begitu juga DAP, sebuah parti yang kuat, biasa memungut undi lebih daripada satu juta tetapi tidak berjaya memerintah walau satu negeri.

Bagaimana kita nak ubah soal penyelewengan, kezaliman dan rasuah melainkan formula berlaku kesepaduan Pas, DAP dan PKR, barulah boleh menjatuhkan Barisan
Nasional. Ini terbukti berlaku pada tahun 2008.

Kalau kita pergi kepada kerajaan perpaduan bersama Umno-Barisan Nasional, ertinya kita meneruskan kezaliman yang ada, rasuah yang ada, penyelewengan yang ada.
Saya tidak nampak boleh berlaku perubahan melalui penggabungan dengan Umno dan Barisan Nasional,"jelasnya lagi.

Khir Toyo Dihukum Penjara setahun, Harta Dilucuthak

SHAH ALAM 24 DIS : Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo yang didapati bersalah atas tuduhan rasuah oleh Mahkamah
Tinggi Shah Alam hari ini dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara selain harta terbabit dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.


Hukuman penjara itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkuat kuasa mulai hari.

Perintah melucuthak harta tersebut pula dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohtaruddin Baki berkata hukuman yang berat adalah perlu kerana dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan awam dan swasta, kepentingan awam perlu diberi keutamaan.

Bagaimanapun, Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut, lapor Malaysiakini

Sebelum itu, Mohtaruddin berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap ADUN Sungai Panjang itu tanpa sebarang keraguan yang munasabah.

Khir didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan - tuduhan rasuah yang lebih ringan, berbanding dengan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan Akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Khir berdepan dengan kemungkinan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Jika denda itu melebihi RM2,000, Khir boleh hilang kelayakannya sebagai ADUN dan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Turut hadir ialah isterinya, Zaharah Kechik dan kira-kira 40 penyokongnya - ada yang duduk dan ada yang berdiri di dalam bilik mahkamah yang padat.

Khir diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Jahaberdeen Yunoos, M Athimulan dan Kamarul Hisham Kamaruddin.

DPP Abdul Wahab Mohamed menjalankan pendakwaan.

Khir tiba di mahkamah seawal jam 9.15 pagi.

Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditmas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Pada 8 Ogos lalu, Hakim Mohtaruddin memerintahkan Khir membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pendakwa sudah membuktikan kes prima facie ke atas pemimpin politik itu.

Dua puluh lima saksi pendakwa dan lima saksi pembela, termasuk Khir, memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.