Hudud: Pendirian DAP betul sejak dalam Pakatan Rakyat
Pandangan PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) bahawa hudud kurang sesuai dilaksanakan sekarang jelas membuktikan pendiarian DAP betul sejak dalam Pakatan Rakyat.
Ia dinyatakan oleh Ahli Parlimen DAP, Steven Sim Chee Keong selepas melihat gabungan antara PAS dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang sependapat dengan perkara yang ditekankan oleh DAP sebelum ini.
“DAP tidak pernah hina Islam walaupun tidak setuju hudud dilaksanakan buat masa ini. Ramai orang cerdik pandai dan ulama yang turut mengambil pendirian sedemikian, termasuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dr Tariq Ramadhan.
“DAP tak pernah tukar pendirian, dan kini terbukti ini tidak menghina Islam sebab orang yang dulu mengkritik pendirian tersebut telah mengubah cakapnya lalu mengambil pendirian yang sama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
PAS dan IKATAN mengumumkan membentuk gabungan pembangkang baru dalam satu sidang media semalam.
Dalam sidang media sama, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pendirian parti itu kini adalah menyokong cadangan kerajaan untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah, dan “apa-apa undang-undang (lain dibincang) selepas itu”.
Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed pula ketika ditanya pemberita berkata, hudud mengambil masa untuk dilaksanakan di Malaysia dan perlu dibuat secara beransur-ansur.
Dalam pada itu, Sim menegaskan DAP tidak pernah memperkudakan PAS ketika bersama-sama dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya, UMNO yang memperdaya parti itu berhubung hudud.
“Bila bersekutu, kami bertungkus lumus mempertahankan rakan sekutu. UMNO yang perkuda PAS dengan menjanjikan langit dan bumi tentang Hudud, sehingga rakan seperjuangan sendiri diceraikan tetapi akhirnya janji dicapati,” katanya lagi.