PH lepasi situasi terburuk – Tun M
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melalui “situasi kacau-bilau” yang diwarisi dari pentadbiran lama selepas setahun mengambil alih Putrajaya, meskipun usaha mengatasi masalah ekonomi masih belum selesai, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Kita telah dan masih bergelut menyelesaikan masalah ekonomi negara yang dibelenggu oleh salah laku kewangan oleh pentadbiran lama.
“Setahun telah berlalu dan saya gembira untuk katakan bahawa kita sudah berjaya melepasi legasi terburuk yang kita warisi,” kata perdana menteri dalam ucaptamanya pada sidang Meja Bulat Asia-Pasifik ke-33, hari ini.
Dr Mahathir berkata, usaha memulihkan ekonomi tidak hanya bergantung kepada dasar domestik tetapi juga kepada perkembangan geopolitik serantau dan antarabangsa yang boleh mengancam strategi serta rancangan seperti itu.
Oleh itu, Malaysia perlu terus berjaga-jaga terhadap ketidaktentuan dan gangguan luaran, dan juga bersedia untuk menanganinya, kata perdana menteri.
Menurut beliau, perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat tidak akan memberi manfaat kepada kedua-dua ekonomi besar dunia itu dan negara lain seperti Malaysia.
Tambah Dr Mahathir, Asean terlalu kecil untuk campur tangan dalam krisis tersebut.