POSTED BY AMIR WRLR
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak stabil sejak setahun
lalu kini semakin bergelora apabila elit pemerintah terdiri daripada Umno, Pas
dan Bersatu berpecah serta bercakaran.
Bagi Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perpecahan elit pemerintah dalam mana-mana sejarah boleh dianggap sebagai detik-detik terakhir sebelum sesebuah kerajaan tumbang.
"Selesai Perhimpunan Agung Umno seminggu lebih yang lalu, ia memberikan satu isyarat yang sangat jelas. Isyarat itu berupa elit pemerintah sedang berpecah sekarang ini. Elit pemerintah merujuk elit gabungan PN, Muafakat Nasional.
"Sebelum ini pun kerajaaan PN mempunyai masalah ketidakstabilan kerana mempunyai angka sokongan yang kecil. Namun apabila Perhimpunan Agung Umno berakhir dengan memberi mandat kepada presiden parti untuk membuat ketetapan menarik diri daripada kerajaan yang memerintah (keadaan menjadi lebih goyang).
"Sehingga itu berlaku dan ditetapkan oleh Umno dan Majlis Tertinggi (meninggalkan kerajaan PN) keadaan kerajaan Tan Sri Muhyiddin ibarat 'telur di hujung tanduk'," kata Saifuddin yang ditemui di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, selesai mendapatkan vaksin Covid 19 dos kedua, pagi tadi.
Tambah beliau, perpecahan elit kerajaan memerintah itu menyebabkan Tan Sri Muhyiddin menjadi tidak keruan dan terpaksa menghabiskan banyak waktu memujuk parti-parti komponen serta Ahli Parlimen Umno yang menjadi menteri agar kekal setia menyokong kerajaannya.
"Sebab itu saya melihat beliau membuat beberapa tindakan untuk consolidate. Beliau terbang ke Sarawak dan membuat kenyataan politik bahawa kerajaan PN akan memastikan GPS menang besar pada Pilihan Raya Negeri. Beliau memberi ucapan kepada Perhimpunan Agung MIC. Kemudian mendapat dukungan dari MIC yang akan terus mengekalkan sokongan kepada beliau.
"Beliau juga pantas menemui menteri-menteri Umno dan memujuk mereka untuk bertahan. Itu menunjukkan tindakan Muhyiddin bukan lagi tertumpu menjalankan tugas sebagai PM, memberi tumpuan kepada rakyat tetapi sedang cemas menyelamatkan usia pemerintahan beliau.
"Itu adalah kesan keputusan Perhimpunan Agung Umno kerana Umno memberikan dukungan 38 Ahli Parlimen. Kalau atas nama BN tambah MCA 2 dan MIC 1 kerusi. Jadi kalau segmen sokongan ini menarik diri, itu bermakna pengakhiran kepada (karier) Muhyiddin," katanya.
Menurut Saifuddin lagi, tidak banyak yang boleh dilakukan Tan Sri Muhyiddin pada waktu ini selain bergantung harap kepada keputusan yang akan dibuat oleh Umno, sama ada untuk menarik diri dari kerajaan PN dalam waktu segera atau menangguhkannya untuk tempoh yang lebih lama.