Beri peluang kepada reformis awal bersama pimpin KEADILAN
Menjelang Pemilihan KEADILAN 2022 yang dijangka sengit, Gabungan Reformis Malaysia (GRM) mengesyorkan agar anggota parti memberi peluang kepada mana mana reformis awal 1998 yang bertanding untuk diangkat bersama sama memimpin parti.
Menurut Penyelaras GRM, Mustaffa Kamil Ayub, reformis awal harus dialu alukan untuk menyumbang bakti kerana kesetiaan mereka dalam perjuangan yang sudah terbukti.
“KEADILAN memiliki ramai reformis yang layak dari segi akademik, pengalaman dan integriti yang boleh diangkat sebagai pemimpin di pelbagai peringkat.
“Masih ramai reformis seangkatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan angkatan berikutnya yang bersama beliau dalam memperjuangkan semangat islah serta aktif membantu parti .
“Ramai juga reformis keluaran institusi-institusi cetusan idea Datuk Seri Anwar. Mereka ini benar-benar faham cita-cita dan hasrat Anwar. Agenda reformasi yang dibawa oleh Anwar ini didokongi oleh reformis dan perlu sentiasa dihidupkan dalam perjuangan parti sebagai suatu idealisme.
“Gandingan orang baharu dan lama akan memberi kelebihan kepada parti,” katanya.
Tambah Mustaffa, pada ketika parti mula dipimpin generasi pelapis yang muda belia, reformis mampu memberi keseimbangan dan merapatkan parti kepada rakyat marhaen kerana para pejuang rakyat itu berasal dari golongan bawahan.
“Golongan reformis majoritinya marhein yang terpanggil menyuarakan bantahan serta mempertahankan keadilan dengan membawa protes ke jalan raya serta mendesak reformasi dalam politik negara termasuk apabila Datuk seri Anwar dizalimi.
“Justeru, GRM berpandangan Pemilihan KEADILAN 2022 adalah antara medan terpenting untuk menyediakan pasukan yang mantap memperjuangkan Agenda Reformasi Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke 15. Politik nilai, politik penyatuan dan pengupayaan rakyat mestilah disuburkan,” katanya lagi.
Selain itu, GRM juga berpendangan sesiapa yang menang dan memimpin selepas musim pemilihan ini harus inklusif kepada mana mana pihak, menang atau kalah, kesemuanya mestilah dirangkul bersama bagi membina pasukan yang padu memenuhi aspirasi rakyat.