Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga pemimpin UMNO dikenalpasti tidak lagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Mereka ialah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.
Zahid Hamidi adalah Ahli Parlimen Bagan Datuk, Najib Ahli Parlimen Pekan dan Ku Li Ahli Parlimen Gua Musang.
Zahid Hamidi dikira tidak lagi menyokong Muhyiddin apabila beliau mempengerusikan mesyuarat Biro Politik UMNO malam semalam yang memutuskan untuk menimbang keluar daripada PN serta akan memberikan syarat baru yang persetujuannya mesti dilakukan secara bertulis jika kedua-dua pihak ingin terus bekerjasama.
Pendirian terbaru UMNO itu dilihat sebagai petanda UMNO kini benar-benar tidak gembira dengan Muhyiddin dan sedia untuk keluar daripada kerajaan bila-bila masa, kecuali syarat dan tuntutan mereka dipenuhi.
Berikutan keputusan Biro Politik UMNO itu, Najib kemudiannya menyokong kuat perkara tersebut, sambil menghuraikan sebab-sebab kekecewaan UMNO terhadap kepimpinan Muhyiddin.
Antara sebab itu, menurut Najib ialah pembulian dalam PRN Sabah, perlongsian kuasa yang tidak adil, tindakan Muhyiddin meletakkan Azmin seolah-olah penggantinya, hal ehwal ekonomi dan kewangan dalam kerajaan tidak diberikan kepada pemimpin UMNO dan tiada pemimpin UMNO dilantik dalam Khazanah serta Majlis Tindakan Ekonomi untuk melawan Covid-19.
Najib turut membangkitkan tentang ketidakpedulian kerajaan terhadap tuntutan UMNO agar moratorium pinjaman bank untuk rakyat dilanjutkan lagi dan bantahan isu penggabungan UEM Sunrise dengan Eco World langsung tidak didengar.
Selain itu, tegas Najib lagi, keputusan Biro Politik tersebut adalah juga keputusan akar umbi UMNO kerana semua Pengerusi Perhubungan UMNO menyokongnya tanpa berbelah lagi.
Tengku Razaleigh menyusul sebagai pemimpin UMNO ketiga menzahirkan pendirian tidak lagi menyokong Muhyiddin apabila mendedahkan surat yang dihantarnya kepada Speaker Parlimen agar usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri segera diberi keutamaan.
Katanya, usul itu perlu diberi keutamaan agar keabsahan kerajaan pimpinan Muhyiddin dapat ditentukan.
Berdasarkan pendirian terkini ketiga-tiga pemimpin di atas, mereka bukan saja tidak lagi menyokong Muhyiddin, malah hampir pasti tidak mengundi atau tidak hadir ketika pengundian Belanjawan 2021 pada Sidang Parlimen yang bermula 2 November depan.
Dalam erti kata lain, walaupun Muhyiddin boleh bermain silap mata agar usul tidak percaya terhadapnya tidak diberi laluan, tetapi keperluan meluluskan Belanjawan 2021 adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Jika sesuatu belanjawan kerajaan tidak diluluskan di Parlimen, ia adalah sama seperti lulusnya usul tidak percaya dan kerajaan akan tumbang dengan sendirinya.
Ini kerana, tanpa belanjawan diluluskan Parlimen, kerajaan tidak dapat berfungsi seperti untuk membayar gaji kakitangan awam dan lain-lain perbelanjaan.
Dalam hal ini, mahu tidak mahu, dengan majoritinya di Parlimen hanya satu atau dua undi saja, Muhyiddin sepatutnya ada rasa malu untuk terus bertahan sebagai Perdana Menteri kerana beliau sebenarnya sudah pun jatuh berikutan pendirian terbaru Zahid Hamidi, Najib dan Ku Li itu.
Keadaan ini tak termasuk lagi dengan beberapa pemimpin lain dalam Biro Politik UMNO yang turut sependirian dengan Zahid Hamidi dan Najib serta mahu agar hubungan dengan Muhyiddin segera ditamatkan.
Jika selepas mengadap Agong Selasa lalu, Anwar Ibrahim dalam sidang medianya mengatakan beliau sudah memiliki sokongan 120 Ahli Parlimen di belakangnya untuk membentuk sebuah kerajaan baru, jalan mati di hadapan Muhyiddin kini ibarat sudah terang lagi bersuluh cahayanya.
Ia bukan saja sudah terbuka dan diperbualkan oleh seluruh rakyat negara ini, malah tidak lagi dapat disembunyikan daripada pasangan di bilik tidurnya sendiri.
Cepat atau lambat saja lagi perkiraan nasib Muhyiddin sekarang ini – jatuh tetap jatuh.(Shahbudindotcom 15/10/2020)