1. Malaysia unik dalam sistem pemerintahannya. Sebagai sebuah
demokrasi dalam kerangka Raja Berperlembagaan, peranan Institusi Raja kekal
terutama dalam menentukan dan melantik Perdana Menteri.
2. Dinamika politik di kalangan rakyat walau suhu membahang
sekalipun akan ditentukan nasibnya oleh institusi Istana apabila ia sampai ke
sempadan garisan untuk menentukan kepimpinan negara dan pentadbirannya. Dalam
keadaan biasa, pakej menentukan PM dan kerajaannya berlaku serentak sejurus
keputusan PRU diisytiharkan. Parti yang memiliki majoriti akan mencalonkan nama
untuk diperkenankan dan dilantik oleh YDPA sebagai PM penggal baru. Urusannya
tidaklah rumit dan bersifat 'straight forward' Selesai kerja Istana, rakyat pun
kembali dengan urusan mereka dan ahli politik akan pulang ke gelanggang untuk
berpencak sehingga giliran PRU seterusnya.
3. Namun pasca 13 Oktober 2020, tidak boleh difahami dalam
bentuk lazimnya di peringkat kerajaan persekutuan. Sejak Feb 2020 melalui
'Langkah Sheraton' kelaziman itu dicabar apabila kerajaan yang mendapat mandat
rakyat ditukar dengan kerajaan dan kepimpinan baru tanpa PRU. Ketika itu
peranan Istana muncul untuk menjalankan fungsinya secara undang-undang bagi
memutuskan krisis politik yang berlaku. Peranan YDPA ialah membuat pengesahan
mengikut proses ditetapkan tentang benarkah ada majoriti bagi yang mendakwa dan
siapa yang layak akan jadi PM baru?!
4. Pasca 13 Oktober adalah rentetan tragedi Februari lalu yang
menyaksikan pergelutan pihak yang dirampas menuntut kembali haknya dengan
menggunakan kewajaran hak perundangan yang sama. DSAI mendakwa memiliki
majoriti, dan dirinya dicalon sebagai PM dipersetujui dari kalangan majoriti.
Bezanya TSMY tidak meletakkan jawatan hari ini tetapi Tun M telah meletakkan
jawatan dalam krisis tragedi Februari.
5. Menentukan kesahihan majoriti dan calon PM secara
berperundangan bukanlah tugas rakyat mahupun pihak yang bergelut, ia adalah
tugas Raja yang sangat kritikal untuk meneruskan perjalanan negara. Sudah tentu
verifikasi dakwaan ada prosesnya, kaedahnya dan ada teknikalnya dan
taktikalnya. Rakyat tidak terlibat dalam proses tersebut walaupun gegak gempita
komen-komen yang dibuat di luar istana. Sementara hingar-bingar suhu politik di
luar meningkat, istana sibuk memastikan perjalanan undang-undang mengikut
lunas-lunas yang telah ditetapkan.
6. Memang benar prosesnya bahawa setiap dakwaan perlu
dibuktikan. DSAI telah melalui semua kaedahnya dari medan luar istana. DSAI
konsisten ada majoriti kukuh sejak 23hb Sept dan pada 13 Oktober selesai
mengadap, DSAI memetik bilangannya iaitu 120 MP. Kita dapat lihat peningkatan
isi sidang media DSAI dari dakwaan wujud kepada jumlah bilangan. Dari sudut itu
DSAI telah menunjukkan kesahihan dakwaannya.
7. DSAI juga telah mengadap ke bawah Duli Tuanku dengan
persediaan rapi majoriti yang didakwanya. Semua telah dijelaskan dalam sidang
media 2 Ptg ,13 Oktober. Adapun apa sahaja yang datang dari kenyataan Istana,
itu adalah atas kuasa perlembagaan yang ada padanya selain wewenang Tuanku dan
kebijaksanaan Baginda untuk membuat apa sahaja respons demi kepentingan suara
rakyat di luar Istana.
8. Minggu ini pasca 13 Oktober adalah hari-hari yang sibuk di
balik tembok Istana kerana proses verifikasi yang akan menentukan keputusan
Baginda Tuanku sedang berjalan. Dari luar, kita hanya nampak ketua-ketua parti
akan keluar masuk Istana memenuhi kehendak teknikal undang-undang dan taktikal
pihak Istana. Senarai nama sokongan kepada DSAI dari kalangan MP akan dipersembahkan
melalui ketua parti masing-masing dan bukan dari DSAI.
9. Sementara itu, lensa rakyat marhaein tidak terelak dari
membuat spekulasi panas khususnya yang terkini iaitu ancaman UMNO ke atas PN
untuk menarik sokongan kepada TSMY melainkan TSMY menerima syarat-syarat baru
bertulis. Pastinya apa yang berlaku memanaskan lagi suhu politik dengan
spekulasi 'nakal' dan tentunya akan memberikan kesan kepada kesibukan tugas
yang perlu dibereskan oleh pihak Istana.
DSAI dan pemimpin PH menasihati agar semua rakyat tenang dan
berikan kepercayaan kepada YDPA untuk memutuskan situasi dengan tepat dan
bijaksana demi kepentingan rakyat. Mari kita relaks seketika sementara
Institusi Raja kita sedang bertugas.
Shhh...Raja kita sedang bekerja...!
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden AMANAH
14 Oktober 2020