Perdana Menteri (PM) Tan Sri
Muhyiddin Yassin tidak pernah melepasi ujian Undi Percaya atau Undi Tidak
Percaya di Parlimen sebagaimana amalan demokrasi di negara-negara lain dalam
melantik ketua kerajaan tanpa melalui Pilihan Raya Umum .
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang,
Hassan Abdul Karim, keberadaan Muhyiddin sebagai PM selama 7 bulan ini hanyalah
di atas kepercayaan Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau memiliki sokongan
majoriti, yang mana Agong berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan
wajar melantik seorang PM untuk mempengerusikan Jemaah Menteri bagi mentadbir
kerajaan.
"Namun fakta menunjukkan dari 1
Mac 2020 sehingga hari ini, Muhyiddin tidak pernah melepasi ujian kepercayaan
di Dewan Rakyat untuk membuktikan secara rasmi beliau mempunyai majoriti ahli
dewan yang menyokongnya.
"Fakta juga menunjukkan Usul
Undi Tidak Percaya yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir, Ahli Parlimen
Langkawi dan diterima oleh Speaker Dewan Rakyat sampai ke hari ini tidak
dibentang untuk dibahas dan diundi di Parlimen.
"Muhyiddin kelihatan cuba
berdalih-dalih dan lari-lari dari menghadapi usul tersebut," kata Hassan
dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, Muhyiddin
kelihatan seperti tidak berani membawa Usul Percaya terhadapnya selaku PM di
Dewan Rakyat. Usul seperti itu tidak pernah dibawa atas arahan Muhyiddin.
Oleh kerana ketiadaan keberanian itu,
kata Hassan, maka tidak boleh dipersalahkan apabila Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim pergi mengadap Agong menunjukkan sokongan yang beliau
milikki, sebagaimana yang dilakukan Muhyiddin pada Februari lalu.
"Dalam keadaan ketidakpastian
sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti atau tidak, maka pada 13 Oktober
lalu, Datuk Seri Anwar telah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara
dan mempersembahkan dokumen-dokumen yang membuktikan beliau mendapat sokongan
melebihi 120 orang ahli dewan yang menyokongnya bagi jawatan PM. Pernyataan
atau representasi Anwar kepada Agong itu bermakna beliau mendakwa Muhyiddin
telah hilang sokongan.
"Persoalan undang-undang kini,
ialah Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong perlu merujuk semula Perkara 43(2)(a)
Perlembagaan Persekutuan. Apakah selepas Anwar mengadap, Agong masih berpegang
pada hematnya mungkin Muhyiddin masih mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan
seperti yang dipercayai Baginda pada 1 Mac 2020 lalu?
"Jika Agong masih percaya, maka
selamatlah kedudukan Muhyiddin sebagai PM buat sementara.
"Sebaliknya jika Agong sudah
hilang kepercayaan maka Muhyiddin perlulah meletak jawatan sebagai PM untuk
mengelakkan rakyat dan negara daripada terheret ke dalam satu krisis
Perlembagaan," kata Hassan.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar dalam
sidang medianya pada 22 September dan 13 Oktober lalu jelas menekankan kerajaan
Muhyiddin telah tumbang.
Bagaimanapun, Muhyiddin kekal mempertahankan beliau masih
mempunyai sokongan majoriti tanpa berjanji untuk membentangkan Usul Percaya di
Dewan Rakyat pada sesi 2 November nanti atau sebarang cara bagi membuktikan
kerajaan beliau masih sah memerintah.