Membangkang tak apa, jangan angkat senjata
Rakyat terutama golongan muda diingatkan supaya membangkang secara demokrasi dan tidak sesekali mengangkat senjata jika tidak berpuas hati dengan mana-mana pihak terutamanya kerajaan.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata banyak negara Islam musnah akibat perang saudara yang berpunca daripada tindakan keterlaluan yang akhirnya menyebabkan seluruh rakyat menderita.
“Kalau tak setuju dengan mana-mana pihak termasuk pemerintah, tak apa, sebab itu kita ada pembangkang, buatlah tunjuk perasaan, hantar memorandum tapi jangan sesekali angkat senjata dan buat alat-alat letupan.
“Terlibatlah (membangkang) dalam cara demokrasi, kalau mula angkat senjata, lihatlah kehancuran seperti di Iraq, Syria, Somalia, Afghanistan dan kehancuran di Libya, dulu eksport minyak sekarang eksport pelarian,” katanya di Sungai Petani, hari ini.
Beliau berucap pada majlis Perjumpaan dan Berbuka Puasa Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Utara di Kem Lapangan Terbang di Sungai Petani, hari ini.
Mohamad berkata semua pihak perlu terus menjaga keamanan dan ketenteraman negara serta menerima mana-mana parti yang menang pada pilihan raya umum sebagai pemerintah.
Katanya rakyat bebas untuk bercakap atau memberi pandangan dan sebagai menteri, beliau akan mendengar serta mengambil iktibar terhadap setiap teguran dengan penuh teliti.
Sementara itu, Mohamad berkata pihaknya akan terus berusaha untuk mengangkat martabat warga ATM kerana pasukan keselamatan merupakan kebanggaan negara.
“Bagi veteran ATM, kerajaan sentiasa kenang jasa veteran yang telah berkhidmat kepada negara dan pelbagai bantuan demi kebajikan mereka akan terus disalurkan,” katanya.
Pada majlis hari ini, Mohamad menyampaikan cek berjumlah RM39,500 kepada lapan persatuan veteran ATM bagi zon Utara serta menyerahkan sumbangan wang tunai kepada 31 anak-anak yatim bekas perajurit.