1MDB: Rosmah didakwa beli kalung berlian bernilai RM97.2 juta Agensi Mac 24, 2022




Menurut Schwartz, Rosmah telah meminta berlian 18 karat, namun dia hanya mempunyai berlian merah jambu 22 karat dan urus niaga akhirnya dicapai untuk pembelian batu permata bersaiz lebih besar. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

NEW YORK: Juri dalam perbicaraan kes bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng akhirnya melihat bukti kukuh tentang barang kemas yang dibeli dengan wang yang dipercayai digunakan menggunakan dana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia didedahkan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu yang turut mengaitkan penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta) dihasilkan Lorraine Schwartz.

Bloomberg melaporkan juri bagaimanapun tidak melihat gambar atau kalung sebenar dan hanya diberikan bukti resit pembelian sebagai bahan bukti.

Schwartz yang sebelum ini pernah mereka barang kemas untuk selebriti seperti Beyonce, Adele dan Blake Lively mungkin menjadi saksi dalam kes tersebut.

Tetapi, dia sebaliknya hanya memberi kenyataan yang telah dimasukkan pendakwa raya sebagai rekod rasmi mahkamah.

Ketika urus niaga itu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa menghubungi Schwartz pada Jun 2013 dan meminta wanita tersebut mereka kalung berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati khas untuk Rosmah.

Menurut Schwartz, Rosmah telah meminta berlian 18 karat, namun dia hanya mempunyai berlian merah jambu 22 karat dan urus niaga akhirnya dicapai untuk pembelian batu permata bersaiz lebih besar.

Rekod menunjukkan, Schwartz kemudiannya menyerahkan sendiri kalung tersebut kepada Rosmah ketika isteri bekas perdana menteri itu bersantai di atas sebuah kapal layar bersama Low di luar pantai Monaco.