Menurut Schwartz,
Rosmah telah meminta berlian 18 karat, namun dia hanya mempunyai berlian merah
jambu 22 karat dan urus niaga akhirnya dicapai untuk pembelian batu permata
bersaiz lebih besar. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
NEW
YORK: Juri dalam perbicaraan kes bekas
ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng akhirnya melihat
bukti kukuh tentang barang kemas yang dibeli dengan wang yang dipercayai
digunakan menggunakan dana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ia
didedahkan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York, Amerika Syarikat (AS)
pada Rabu yang turut mengaitkan penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor yang
merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang
membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta) dihasilkan
Lorraine Schwartz.
Bloomberg melaporkan
juri bagaimanapun tidak melihat gambar atau kalung sebenar dan hanya diberikan
bukti resit pembelian sebagai bahan bukti.
Schwartz yang sebelum ini pernah mereka barang
kemas untuk selebriti seperti Beyonce, Adele dan Blake Lively mungkin menjadi
saksi dalam kes tersebut.
Tetapi, dia sebaliknya hanya memberi kenyataan
yang telah dimasukkan pendakwa raya sebagai rekod rasmi mahkamah.
Ketika urus niaga itu, ahli perniagaan dalam
buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa menghubungi Schwartz pada Jun 2013
dan meminta wanita tersebut mereka kalung berlian merah jambu dengan permata
berbentuk hati khas untuk Rosmah.
Menurut Schwartz, Rosmah telah meminta berlian
18 karat, namun dia hanya mempunyai berlian merah jambu 22 karat dan urus niaga
akhirnya dicapai untuk pembelian batu permata bersaiz lebih besar.
Rekod menunjukkan, Schwartz kemudiannya
menyerahkan sendiri kalung tersebut kepada Rosmah ketika isteri bekas perdana
menteri itu bersantai di atas sebuah kapal layar bersama Low di luar pantai
Monaco.