Mesyuarat MPN PKR Sabah sah, cukup korum, kata setiausaha


Mustapha Sakmud berkata mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah yang berlangsung semalam sah dan mengikut perlembagaan.

KOTA KINABALU: Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Mustapha Sakmud berkata mesyuarat MPN yang berlangsung semalam adalah sah dan mencukupi korum.

Katanya, penstrukturan semula MPN telah dibincangkan lebih awal oleh biro politik MPN negeri dan disahkan sebulat suara dalam mesyuarat MPN yang dihadiri oleh ketua-ketua cabang, ahli-ahli MPN yang dilantik, serta ahli-ahli MPN sedia ada.

“Berdasarkan perlembagaan parti, mesyuarat adalah sah dan mencukupi korum walaupun tanpa kehadiran ketua-ketua cabang yang cuba memboikot mesyuarat selepas diberi notis lebih awal dengan menyatakan mesyuarat diadakan secara hibrid, iaitu kehadiran secara fizikal dan maya untuk memberi kemudahan kepada kehadiran ahli-ahli MPN.

“MPN Sabah yang bermesyuarat semalam telah membuat penstrukturan semula pimpinan MPN untuk memantapkan jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka diadakan pertengahan 2022,” katanya dalam kenyataan.

Mustapha berkata, pelantikan kepimpinan MPN itu berdasarkan Fasal 27.4 melalui cadangan biro politik dan perundingan dengan ketua-ketua cabang yang hadir mesyuarat.

Mustapha Sakmud.

Katanya, pihak sekretariat telah mengedarkan notis mesyuarat kepada semua ketua cabang dan meminta mereka menghantar wakil jika perlu.

“Namun, tindakan sebahagian memboikot mesyuarat MPN bermakna mereka tidak mahu berunding, dan MPN telah meluluskan perubahan pimpinan ini dengan persetujuan majoriti ahli MPN yang hadir mesyuarat dengan kuasa jawatan yang diberikan mengikut perlembagaan parti.

“Presiden parti (Anwar Ibrahim) juga sudah dimaklumkan berkenaan perubahan ini terutama melibatkan pimpinan utama berdasarkan Fasal 27.5. Kami berharap pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan pengurusan dalaman parti dan perubahan kepimpinan ini menggunakan saluran betul dalam menyuarakan protes mereka dan elakkan menggunakan media secara terbuka,” katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan bahawa mereka yang memboikot mesyuarat MPN tidak menghormati presiden yang telah berunding dengan semua ketua cabang pada mesyuarat MPN 8 Sep lalu serta menasihatkan Pengerusi MPN dikekalkan sehingga pemilihan parti akan datang.

Beliau berkata, mesyuarat semalam juga sebulat suara memberi sokongan penuh kepada Christina Liew untuk terus menerajui MPN Sabah dengan gagasan baharu yang ingin meningkatkan imej dan memperkasa parti.

Semalam, Pengerusi Ketua-ketua Cabang PKR Sabah Simsudin Sidek mendakwa mesyuarat MPN parti itu yang berlangsung semalam tidak cukup korum selepas 16 ketua cabang tidak hadir.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat itu tetap diteruskan selepas beberapa individu dilantik secara terus.

No comments: