Ridauddin Daud
Mac 19, 2021
Petugas media tempatan dan asing juga kelihatan sudah mula berkumpul di hadapan bangunan itu sejak jam 7.30 pagi tadi. -Astro AWANI
PETALING JAYA: Tidak beroperasi pada Sabtu dan Ahad, namun Pejabat Kedutaan Korea Utara di sini hari ini kelihatan sibuk sejak awal pagi tadi.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, seawal jam 8.15 pagi, kakitangan diplomatik sudah mula memasuki bangunan yang terletak Jalan Batai itu.
Petugas media tempatan dan asing juga kelihatan sudah mula berkumpul di hadapan bangunan itu sejak jam 7.30 pagi tadi.
Kira-kira jam 10.20 pagi tadi, beberapa petugas kesihatan dari pusat perubatan swasta juga hadir ke pejabat berkenaan.
Mereka membawa beberapa kelengkapan, dipercayai untuk melakukan ujian saringan COVID-19 kepada semua kakitangan sebelum mereka pulang ke Pyongyang.
Tidak banyak pergerakan dilihat sejak dari pagi tadi memandangkan hanya pintu pagar dibuka dan pintu pejabat ditutup hampir setiap masa.
Korea Utara pada Jumaat telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas seorang rakyatnya yang menetap di sini, bakal diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan agensi berita negara itu KCNA berkata, Malaysia telah melakukan ‘jenayah yang tidak boleh dimaafkan’, dan ‘menghantar rakyatnya yang tak bersalah ke AS dengan cara paksaan.