Tiada peruntukan Ahli Parlimen pembangkang, bukti ugutan pemerintah - Shamsul Iskandar

 




Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan tidak bertanggungjawabnya telah mempropagandakan kepada rakyat bahawa tiada ugutan dilakukan terhadap Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang berkhianat baru-baru ini.



Bagaimanapun, Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membawakan testimoni mudah ciri-ciri awal ugutan yang dilakukan oleh pemerintah sehingga berlaku insiden melompat parti.



Katanya, mulai 1 Januari 2021 Ahli Parlimen pembangkang dinafikan sebarang peruntukan kawasan. Hal itu menurut Shamsul adalah satu bentuk ugutan yang nyata kerana sebagai ahli politik yang menjadi tempat bergantung rakyat, mereka sangat tertekan mencari dana bagi membantu pengundi di kawasan masing-masing.



"Dalam hal ini kita nyatakan dengan jujur ada rekayasa politik untuk mengugut dan memberikan umpan. Contoh yang paling mudah, peruntukan RM100,000 (bagi setiap kawasan Parlimen).



"Oklah kerajaan Pakatan Harapan silap kerana tak buat dasar sama (beri peruntukan sama banyak kepada pembangkang). Tetapi sekarang kerajaan baru perlu buat dasar baru yang boleh menarik sokongan kepada Muhyiddin (secara semulajadi).



"(Biarkan) mereka (Ahli Parlimen) dapat RM100,000 termasuk presiden Umno, itu apa (henti peruntukan) kalau bukan ugutan?



"Sepatutnya semua Ahli Parlimen yang dipilih tidak ada isu mengenai peruntukan," katanya dalam forum anjuran stesen penyiar Astro, "Dialog Konsensus Nasional", malam tadi.



Mengenai soalan sama ada wujud atau tidak rundingan di antara KEADILAN dan Umno, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu meminta media berhati-hati menggunakan istilah rundingan kerana rakyat menganggap telah berlaku sesuatu yang serius dan akan disudahi dengan ketetapan kerjasama.



Sedangkan, kata Shamsul, perbincangan yang dibuat masih di peringkat awal dan tidak menatijahkan sebarang keputusan.



"Ini istilah bahasa. Kadang kala rundingan itu dianggap sesuatu yang serius. Tetapi kalau kita bincang ada dialog, diskusi (lebih ringan) jadi istilah itu harus cermat kita guna.



"Jadi dalam konteks ini Datuk Seri Anwar sebut beberapa kali kepada wartawan, apa salahnya kita berbincang dengan tema-tema yang jelas. Misalnya tatakelola, bidang kehakiman, ekonomi dan hal-hal berkaitan masa hadapan Malaysia. Dalam keadaan sekarang kita perlukan kerajaan yang kuat dan stabil.



"Dalam kerangka ini kita meneroka keadaan yang ada, berbincang dengan beberapa pimpinan Umno.