Pemangsa Umno, PKR sama – Fahmi
Realiti politik lompat parti sejak 3 tahun lalu memperlihatkan KEADILAN dan Umno mempunyai pemangsa yang sama, iaitu Bersatu.
Hal ini ditegaskan oleh Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil dalam siaran langsung Facebook bertajuk: “PH, Umno: Bersediakah ke Medan Juang”, malam tadi.
Menurut Fahmi, senarai pelompat tersebut jika diteliti adalah dari kalangan pemimpin-pemimpin KEADILAN yang pernah dilantik menjadi menteri kabinet oleh Tun Mahathir Mohamad dan boleh diramal ke arah manakah sokongan mereka di kemudian hari.
“Saya lihat fenomena lompat melompat ini ada beberapa jenis lompatan berbeza. Seperti pernah disebut Datuk Seri Saifuddin Nasution ada disebut lompat katak, ada disebut lompat kijang. Lompat katak hodoh, dia terkangkang akhirnya kena panggang. Lompat kijang ini cantik dan lompatannya tepat.
“Tetapi yang jelas dalam hal ini, apa yang berlaku kepada KEADILAN sama seperti terjadi kepada Umno sebelum ini. Kalau kita tengok lepas Pilihan Raya Umum 14 berlaku satu gerakan yang cuba memecahbelahkan Umno. Kita nak cakap sebenarnya parti mana yang lakukan, bukan KEADILAN masuk Umno atau sebaliknya, tetapi yang menyerang dua-dua parti ini, yang merosakkan imej demokrasi negara kita, yang mengusahakan tindakan lompat-melompat ini adalah Bersatu.
“Jadi nasib Umno dan KEADILAN dari segi itu sama. Kalau kita lihat senarai menteri dari KEADILAN yang dipilih zaman Mahathir dahulu bukan dari senarai parti. Siapa yang dipilih (kartel), hampir semua itu kini melompat. Semua itu telah dididik dan diasuh menjadi katak-katak,” katanya.
Menurut Fahmi lagi, lompat parti bukan sahaja tidak sihat dalam amalan demokrasi tetapi menyebabkan rakyat meluat terhadap politik dan memandang serong kepada ahli-ahli politik yang jujur dan setia berkhidmat.
Katanya, ahli politik perlu didik agar tidak melompat dan pertentangan politik hanya sekadar ideologi perjuangan dan tidak boleh dipaksakan kepada pihak lain.
“Apa yang berlaku kepada Umno, sama kita dengar. Mereka yang melompat ke dalam Bersatu ada yang jadi menteri, ada terkait dengan kes 1MDB dan NFA (tidak diambil tindakan lanjut), itu yang berlaku.
“Bagi saya tindakan yang membolehkan lompat-melompat ini merosakkan demokrasi di mata rakyat. Memperkotak-katikkan demokrasi dan peri pentingnya undi dan suara rakyat.
“Sampai rakyat jadi meluat, mereka kata buat apa pergi mengundi, beratur panjang, balik kampung sudahnya orang yang dipilih jadi seperti itu.
“Jadi kita perlu hentikan. Banyak kawan-kawan dalam Pakatan Harapan yang tidak setuju Ahli Parlimen Umno masuk Bersatu ketika PH memerintah.
“Bagi kami biarlah berbeza pandangan, jadi lawan politik tetapi jangan ditekan, diasuh untuk melompat. Biar perbezaan itu setakat itu, dan kalau nak bertanding kita bertanding PRU,” katanya lagi.