Ahli Parlimen selar kenyataan menteri berkait dakwaan serangan seksual terhadap pelakon remaja
PETALING JAYA: Dua Ahli Parlimen berkata menteri sepatutnya lebih sensitif mengulas kes penderaan seksual, sambil menyatakan sikap meremehkan isu itu dibimbangi menjadi penghalang bagi mangsa tampil mendapatkan bantuan.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto, mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berhubung kenyataan terhadap artis remaja yang baru-baru ini berkongsi sikap buruk bapa terhadapnya ketika kecil.
Idris dipetik Berita Harian, berkata pelakon berusia 15 tahun itu sewajarnya menutup aib sendiri dan tidak mendedahkan perkara itu pada orang ramai, sebaliknya membuat laporan polis bagi mendapat pembelaan undang-undang.
Kasthuri, walaupun bersetuju mangsa membuat laporan polis, berkata mereka yang berada pada kedudukan menteri tidak perlu membuat kenyataan yang menjejaskan moral mangsa. Mereka tidak sepatutnya memandang ringan isu dibangkitkan itu.
“Apabila anda berada kedudukan berkuasa meremehkan isu besar seumpama itu yang melanda kanak-kanak, ia menghantar mesej salah kepada pemangsa (seksual) dan menghampakan mangsa daripada bersuara,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, Idris sebagai “orang beragama” perlu terlebih dulu mengutuk insiden berkenaan sebagai contoh bagaimana untuk memberi reaksi apabila mangsa sedia berkongsi penderitaannya.
Kasthuri berkata, remaja itu mempunyai hak untuk bercakap berhubung kejadian menimpanya dan menerusi tindakannya itu membuka jalan bagi mereka yang pernah mengalami kejadian sama untuk bersuara.
Dalam temu bualnya di YouTube, pelakon remaja itu mendakwa dicabul bapanya ketika masih kecil. Dilaporkan, remaja terbabit memutuskan hubungan dengan bapanya itu.
Dalam pada itu, Yeoh berkata, respon Idris mencerminkan sikap dan pemikiran mereka yang selalu menghalang mangsa untuk tampil ke depan.
“Menteri ini benar-benar perlu menjalani latihan bagaimana untuk lebih empati,” katanya kepada FMT.
Katanya, dengan menasihatkan remaja itu membuat laporan polis terhadap ahli keluarganya, menunjukkan Idris tidak memahami kesukaran dihadapi kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual.
Pegawai Kanan Advokasi Women’s Aid Organisation Kiran Kaur, berkata kenyataan menteri terbabit akan mengekalkan stigma berhubung kejadian penderaan seksual.
“Mangsa sepatutnya disokong kerana keberanian berkongsi kejadian dan bercakap menentang keganasan. Mereka tidak layak menerima respon yang melemahkan,” katanya kepada FMT.
Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff, hari ini, mengesahkan mangsa dan ibunya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu, menurut Harian Metro.
Dalam pada itu, The Sun Daily, melaporkan polis sudah memulakan siasatan berhubung kejadian berkenaan.