38 cek berjumlah RM8.4 juta dikeluarkan melalui akaun Najib, mahkamah diberitahu

 

38 cek berjumlah RM8.4 juta dikeluarkan melalui akaun Najib, mahkamah diberitahu

Bekas perdana menteri Najib Razak dibicarakan atas 25 pertuduhan menyalahguna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak diberitahu, Umno Selangor menerima sejumlah RM2 juta daripada bekas perdana menteri itu pada 2011 dan 2012.

Pengurus kanan pusat pemprosesan cek AmBank, Badrul Hisham Mohamad berkata, dua cek berjumlah RM2 juta diberikan kepada bahagian negeri parti pada 30 Nov 2011 dan 3 Mac 2012.

Cek itu dikeluarkan melalui akaun Najib yang berakhir dengan angka 694.

Badrul berkata, sebanyak 38 cek berjumlah RM8.4 juta dikeluarkan melalui akaun yang sama.

Dia turut memberitahu mahkamah bahawa Wanita Umno Selangor menerima sejumlah RM1.9 juta daripada Najib antara 21 Sept 2011 dan 12 Mac 2012.

Katanya, Umno Pekan dan sayap wanitanya masing-masing diberi RM300,000 dan RM70,000 oleh Najib antara 2011 hingga 2012, manakala Barisan Nasional (BN) Bandar Tun Razak dan Umno Machang masing-masing memperoleh RM200,000 dan RM400,000.

Badrul memberitahu mahkamah bahawa terdapat beberapa orang ahli politik, individu dan organisasi turut menerima cek daripada Najib.

Ahli politik itu termasuk Ahli Parlimen Serian Richard Riot (RM100,000), bekas menteri besar Kedah Ahmad Bashah Md Hanipah (RM200,000), pemimpin Bersatu Jempol, allahyarham Ruslan Kassim (RM200,000), bekas setiausaha politik Najib Wong Nai Chee (RM32,600) dan bekas menteri tanah dan pembangunan koperasi Kasitah Gaddam (RM100,000).

Individu yang menerima cek termasuk Abdul Malek Munip (RM100,000), Ahmad Baijuri Ahmad Fauzi (RM50,000), Fakhrul Azman Abu Bakar (RM50,000), Rosdi Alizah (RM10,000), Ibrahim Awang Ismail (RM30,000), Zainal Abidin Pa’wan (RM15,000), Khairuddin Mahmud (RM30,000), Zaleha Kamid (RM5,000), Norhayati Abdullah (RM5,000), Azmi Mohamad Noor (RM30,000), Ahmad Kamaruzaman Baria (RM50,000), Norizan Kasbi (RM10,000) dan Lim Soon Peng (RM1 juta).

Manakala organisasi yang dinamakan sebagai penerima adalah Qalif Umar Creative (RM230,000), Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM515,250), Gading Emas Management Services (RM50,000), Fanisa Consultancy And Services (RM95,000), Two One Holidays Malaysia Sdn Bhd (RM178,000) dan KL Media House Sdn Bhd (RM360,000).

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan menyalahguna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Najib yang dibawa ke penjara Kajang untuk menjalani hukuman berhubung kes rasuah SRC International bulan lepas, hadir di mahkamah hari ini.

Pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung.

No comments: