Dr Mahathir baru terjumpa pemimpin yang “smart” - Aspan Alias(PERLU BACA)

Dr Mahathir baru terjumpa pemimpin yang “smart” - Aspan Alias

September 27, 2013
Akta Pencegahan Jenayah (PCA) pula diperkenalkan dan ia nampaknya adalah pengganti kepada ISA yang dimansuhkan. Sesungguhnya ia ISA dengan nama yang berlainan. Ia ibarat menukar nama daripada goreng pisang ke pisang goreng. Pisang goreng dan goreng pisang itu sama saja rasanya.Sanusi Joned yang termasyur dengan kepandaiannya pernah menukar nama goreng pisang kepada nama ringkas, iaitu gorpis. Semuanya sama.

Saya bukan hendak menyokong atau menentang pindaan ini. Tetapi saya lebih cenderung untuk menuduh kerajaan sedang cuba untuk membohongi rakyat kerana itu merupakan janji BN dalam pilihan raya yang lalu. Kadang kala kita bukan marah sangat kepada apa-apa akta yang digubal itu atau apa-apa pindaan kepada apa-apa akta. Yang kita kadang kala marah dan merungut itu ialah kerana tindakan mengelirukan rakyat.

Jika kerajaan mahukan perkara yang sama kenapa dimansuhkan ISA dahulu sedangkan penggantinya itu serupa ISA juga? Sebenarnya kita tahu tidak ramai yang tidak setuju dengan ISA itu dahulu kerana ia wujud untuk mejaga keselamatan rakyat dan negara. Yang menjadi isu ialah ISA itu disalahgunakan oleh kerajaan. Tidak ada apa bahayanya pemimpin pembangkang atau kerajaan suatu ketika dahulu tetapi oleh kerana kepentingan politik peribadi maka kerajaan mengambil langkah untuk menangkap pemimpin politik dalam operasi lalang pada 1988 dahulu.

Sesungguhnya Umno selamat begitu lama bukannya oleh kerana keindahan dan kebaikan parti itu tetapi oleh kerana tekanan terhadap rakyat melalui akta tersebut. Ia bukan kerana kebaikan kepimpinan parti itu.

Mahathir sendiri dua hari yang lalu meminta Umno memilih pimpinan yang ‘smart’ kerana mengikut beliau Umno sekarang ini dipenuhi oleh mereka yang bodoh dan tidak pandai. Sekarang Mahathir sudah semakin jelas mengakui hakikat yang Umno sudah tidak lagi ada pemimpin yang ‘smart’ seperti yang diperlukan oleh parti. Tetapi oleh kerana terlalu banyak bercakap dan bertindak dengan segala ‘intrigue’ beliau dalam parti lebih dua dekad, akhirnya Umno berada dalam keadaan yang beliau katakan hari ini.

Hanya yang tertinggal sedikit dalam kenyataan Mahathir itu, ialah ayat yang mengakui yang beliaulah yang memulakan budaya mencantas orang yang ‘smart’ dalam Umno itu. Beliau tidak pernah merasa lega dan selesa semasa Umno itu dipenuhi oleh orang ‘smart’ semasa itu, lebih-lebih lagi setelah beliau memegang tampuk kuasa.

Pada hari pertama beliau mendapat kuasa itu pada 1981 dahulu sudah dicantasnya seorang arkitek pembinaan asas ekonomi negara yang banyak jasa kepada negara berserta dengan pengorbanan diri beliau seratus peratus terhadap pembangunan negara. Orang itu tidak lain daripada Tengku Razaleigh Hamzah yang sinonim dengan pembangunan dan pengurusan Petronas, Bank Bumiputra, PNB dan banyak lagi bekas tangan dalam pembinaan negara Malaysia ini.

Mahathir mahu menutup apa jasa TR dengan pimpinan lain kerana beliau hanya mahu semua pihak menumpukan kepada beliau sahaja. Mahathir tidak mahu mengakui dan sesiapa pun tahu bagaimana kepimpinan muda negara seperti TR menjadi seorang yang pertama di luar AS yang terpilih menjadi Pengerusi Bank Dunia.

Dalam masa yang sama TR juga pengerusi kepada IMF, Bank Pembangunan Asia dan Bank Islam Antarabangsa. Keempat-empat jawatan dan tanggungjawab ini dipikul oleh TR dalam masa serentak. Keempat-empat institusi kewangan ini mempunyai fungsi yang berlainan antara satu dengan yang lain.

Di mana letaknya keikhlasan Dr Mahathir yang kini mahukan pemimpin yang muda untuk menerajui pimpinan negara sedangkan beliau terkenal dengan sikap menutup kebaikan dan jasa orang lain yang benar-benar jitu dan di sebaliknya mencari segala kelemahan untuk menafikan kemampuan orang lain.

Bagaimana sekarang Dr Mahathir pula yang bercakap mengatakan pimpinan Umno sekarang semuanya pemimpin bodoh dan wajar mengundurkan diri untuk memberi mereka yang lebih muda untuk tampil kehadapan. Adakah apabila Mukhriz anak bongsu beliau sekarang sedang mencuba nasib bertanding Naib Presiden Umno baru beliau hendak bercakap tentang peranan penting orang muda.

Khairy Jamaludin merupakan anak muda dan beliau merupakan ‘budding leader’ yang kini menjadi perhatian ramai tidak mendapat sokongan Mahathir sedangkan Khairy jauh lebih muda daripada anak bongsunya sendiri? Mahathir is Mahathir. Sekarang apabila anak bongsunya mahu mencelah untuk menjadi Naib Presiden parti, maka Zahid Hamidi sudah menjadi pemimpin tua, Shafie Apdal sudah tua dan Hishamudin pun sudah tua. Bagi beliau pemimpin muda yang layak hanyalah anaknya Mukhriz.

Kita tidak menafikan Mukhriz itu ada sedikit kemampuan tetapi tidak payahlah mengata orang itu tua dan orang ini sudah lanjut usia dan sebagainya. Sekarang ini Mahathir baru mengatakan yang Umno itu dipenuhi dengan pemimpin bodoh. Jika itu benar maka kepimpinan yang beliau anggap bodoh itu adalah pemimpin yang beliau gunakan untuk bertepuk tangan menyokong beliau sendiri. Kalau dahulu berguna kenapa sekarang tidak berguna lagi, semata-mata kerana anak kesayangannya hendak mengambil alih.

Bagi Mahathir, jika anak atau ahli keluarganya berkehendakkan jawatan dalam Umno orang lain mesti ketepi dan berikan laluan mudah untuk anaknya sahaja. Apabila anaknya mahukan jawatan, orang lain mesti berundur dan menganggap pemimpin lain itu sebagai ‘Red Indian’ semata-mata. Orang lain itu diibaratkannya sebagai orang semenda, dipanggil datang di suruh pergi’. Negara ini beliau yang punya.

Setiap pemimpin Umno beliau mangsakan untuk kepentingan beliau. Mahathir berjaya memperbodohkan pimpinan Umno kerana tidak ada seorang pun yang berani meminta Dr Mahathir untuk menutup mulut seperti beliau lakukan kepada ‘predecessors’ beliau apabila mereka (Tunku dan Hussein) mengkritik pentadbiran beliau.

Jika benar barisan pimpinan Umno sekarang adalah barisan yang bodoh, ketahuilah yang membariskan pimpinan bodoh ini adalah beliau sendiri. Kita mesti ingat yang anaknya sendiri itu adalah hasil didikan beliau. Justeru tidak terkejut kita jika anaknya itu adalah daripada kategori yang beliau anggap bodoh itu.

Selagi Umno berada dalam cengkaman pemimpin ini, selagi itulah Umno tidak akan berubah kerana kelemahan yang beliau wujudkan dalam barisan kepimpinan Umno itu sememangnya untuk menjadikan anaknya nampak cerdik, kata perbilangan seorang yang celik di kalangan yang buta.

Puas Dr Mahathir mencari pemimpin yang smart selama ini di mana-mana, rupanya ia berada dalam rumahnya sendiri. Alhamdulillah! – aspanaliasnet.blogspot.com, 27 September, 2013.


* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.