Dr Mahathir baru terjumpa pemimpin yang “smart” - Aspan Alias
Akta Pencegahan Jenayah (PCA) pula diperkenalkan dan ia nampaknya
adalah pengganti kepada ISA yang dimansuhkan. Sesungguhnya ia ISA dengan
nama yang berlainan. Ia ibarat menukar nama daripada goreng pisang ke
pisang goreng. Pisang goreng dan goreng pisang itu sama saja
rasanya.Sanusi Joned yang termasyur dengan kepandaiannya pernah menukar
nama goreng pisang kepada nama ringkas, iaitu gorpis. Semuanya sama.
Saya bukan hendak menyokong atau menentang pindaan ini. Tetapi saya
lebih cenderung untuk menuduh kerajaan sedang cuba untuk membohongi
rakyat kerana itu merupakan janji BN dalam pilihan raya yang lalu.
Kadang kala kita bukan marah sangat kepada apa-apa akta yang digubal itu
atau apa-apa pindaan kepada apa-apa akta.
Yang kita kadang kala marah
dan merungut itu ialah kerana tindakan mengelirukan rakyat.
Jika kerajaan mahukan perkara yang sama kenapa dimansuhkan ISA dahulu
sedangkan penggantinya itu serupa ISA juga? Sebenarnya kita tahu tidak
ramai yang tidak setuju dengan ISA itu dahulu kerana ia wujud untuk
mejaga keselamatan rakyat dan negara.
Yang menjadi isu ialah ISA itu
disalahgunakan oleh kerajaan. Tidak ada apa bahayanya pemimpin
pembangkang atau kerajaan suatu ketika dahulu tetapi oleh kerana
kepentingan politik peribadi maka kerajaan mengambil langkah untuk
menangkap pemimpin politik dalam operasi lalang pada 1988 dahulu.
Ramai pemimpin politik pembangkang menjadi mangsa ISA. ISA itu wujud
untuk menghapuskan jenayah yang dilakukan komunis yang berusaha untuk
merampas kuasa dengan membuat kacau-bilau. Akta keselamatan dalam negeri
itu dipergunakan untuk meyelamatkan atau menyambung usia politik
pimpinan yang mula lemah dan tidak disokong rakyat.
Sesungguhnya Umno selamat begitu lama bukannya oleh kerana keindahan
dan kebaikan parti itu tetapi oleh kerana tekanan terhadap rakyat
melalui akta tersebut. Ia bukan kerana kebaikan kepimpinan parti itu.
Mahathir sendiri dua hari yang lalu meminta Umno memilih pimpinan yang
‘smart’ kerana mengikut beliau Umno sekarang ini dipenuhi oleh mereka
yang bodoh dan tidak pandai. Sekarang Mahathir sudah semakin jelas
mengakui hakikat yang Umno sudah tidak lagi ada pemimpin yang ‘smart’
seperti yang diperlukan oleh parti. Tetapi oleh kerana terlalu banyak
bercakap dan bertindak dengan segala ‘intrigue’ beliau dalam parti lebih
dua dekad, akhirnya Umno berada dalam keadaan yang beliau katakan hari
ini.
Hanya yang tertinggal sedikit dalam kenyataan Mahathir itu, ialah ayat
yang mengakui yang beliaulah yang memulakan budaya mencantas orang yang
‘smart’ dalam Umno itu. Beliau tidak pernah merasa lega dan selesa
semasa Umno itu dipenuhi oleh orang ‘smart’ semasa itu, lebih-lebih lagi
setelah beliau memegang tampuk kuasa.
Pada hari pertama beliau mendapat kuasa itu pada 1981 dahulu sudah
dicantasnya seorang arkitek pembinaan asas ekonomi negara yang banyak
jasa kepada negara berserta dengan pengorbanan diri beliau seratus
peratus terhadap pembangunan negara.
Orang itu tidak lain daripada
Tengku Razaleigh Hamzah yang sinonim dengan pembangunan dan pengurusan
Petronas, Bank Bumiputra, PNB dan banyak lagi bekas tangan dalam
pembinaan negara Malaysia ini.
Mahathir mahu menutup apa jasa TR dengan pimpinan lain kerana beliau
hanya mahu semua pihak menumpukan kepada beliau sahaja.
Mahathir tidak
mahu mengakui dan sesiapa pun tahu bagaimana kepimpinan muda negara
seperti TR menjadi seorang yang pertama di luar AS yang terpilih menjadi
Pengerusi Bank Dunia.
Dalam masa yang sama TR juga pengerusi kepada IMF, Bank Pembangunan
Asia dan Bank Islam Antarabangsa. Keempat-empat jawatan dan
tanggungjawab ini dipikul oleh TR dalam masa serentak. Keempat-empat
institusi kewangan ini mempunyai fungsi yang berlainan antara satu
dengan yang lain.
Di mana letaknya keikhlasan Dr Mahathir yang kini mahukan pemimpin yang
muda untuk menerajui pimpinan negara sedangkan beliau terkenal dengan
sikap menutup kebaikan dan jasa orang lain yang benar-benar jitu dan di
sebaliknya mencari segala kelemahan untuk menafikan kemampuan orang
lain.
Bagaimana sekarang Dr Mahathir pula yang bercakap mengatakan pimpinan
Umno sekarang semuanya pemimpin bodoh dan wajar mengundurkan diri untuk
memberi mereka yang lebih muda untuk tampil kehadapan. Adakah apabila
Mukhriz anak bongsu beliau sekarang sedang mencuba nasib bertanding Naib
Presiden Umno baru beliau hendak bercakap tentang peranan penting orang
muda.
Khairy Jamaludin merupakan anak muda dan beliau merupakan ‘budding
leader’ yang kini menjadi perhatian ramai tidak mendapat sokongan
Mahathir sedangkan Khairy jauh lebih muda daripada anak bongsunya
sendiri?
Mahathir is Mahathir. Sekarang apabila anak bongsunya
mahu mencelah untuk menjadi Naib Presiden parti, maka Zahid Hamidi sudah
menjadi pemimpin tua, Shafie Apdal sudah tua dan Hishamudin pun sudah
tua. Bagi beliau pemimpin muda yang layak hanyalah anaknya Mukhriz.
Kita tidak menafikan Mukhriz itu ada sedikit kemampuan tetapi tidak
payahlah mengata orang itu tua dan orang ini sudah lanjut usia dan
sebagainya. Sekarang ini Mahathir baru mengatakan yang Umno itu dipenuhi
dengan pemimpin bodoh. Jika itu benar maka kepimpinan yang beliau
anggap bodoh itu adalah pemimpin yang beliau gunakan untuk bertepuk
tangan menyokong beliau sendiri. Kalau dahulu berguna kenapa sekarang
tidak berguna lagi, semata-mata kerana anak kesayangannya hendak
mengambil alih.
Bagi Mahathir, jika anak atau ahli keluarganya berkehendakkan jawatan
dalam Umno orang lain mesti ketepi dan berikan laluan mudah untuk
anaknya sahaja. Apabila anaknya mahukan jawatan, orang lain mesti
berundur dan menganggap pemimpin lain itu sebagai ‘Red Indian’
semata-mata. Orang lain itu diibaratkannya sebagai orang semenda,
dipanggil datang di suruh pergi’. Negara ini beliau yang punya.
Setiap pemimpin Umno beliau mangsakan untuk kepentingan beliau.
Mahathir berjaya memperbodohkan pimpinan Umno kerana tidak ada seorang
pun yang berani meminta Dr Mahathir untuk menutup mulut seperti beliau
lakukan kepada ‘predecessors’ beliau apabila mereka (Tunku dan Hussein)
mengkritik pentadbiran beliau.
Jika benar barisan pimpinan Umno sekarang adalah barisan yang bodoh,
ketahuilah yang membariskan pimpinan bodoh ini adalah beliau sendiri.
Kita mesti ingat yang anaknya sendiri itu adalah hasil didikan beliau.
Justeru tidak terkejut kita jika anaknya itu adalah daripada kategori
yang beliau anggap bodoh itu.
Selagi Umno berada dalam cengkaman pemimpin ini, selagi itulah Umno
tidak akan berubah kerana kelemahan yang beliau wujudkan dalam barisan
kepimpinan Umno itu sememangnya untuk menjadikan anaknya nampak cerdik,
kata perbilangan seorang yang celik di kalangan yang buta.
Puas Dr Mahathir mencari pemimpin yang
smart selama ini di
mana-mana, rupanya ia berada dalam rumahnya sendiri. Alhamdulillah! –
aspanaliasnet.blogspot.com, 27 September, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.