Sekatan pergerakan, prihatin penjaja kecil – Anwar
Sekatan perjalanan sehingga berlaku penutupan perniagaan kecil sewajarnya diambil peduli oleh kerajaan kudeta Perikatan Nasional, gesa Presiden PKR Anwar Ibrahim
Beliau mahu kerajaan segera menyalurkan bantuan kepada golongan yang bergaji harian, agar mereka tidak kelaparan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.
“Kita jangan lupa ramai penjaja, peniaga kecil, nelayan, pekebun kecil yang kerja kais pagi makan pagi.
“Kalau tidak ditentutkan bantuan segera, mereka akan melahap kelaparan,” katanya secara langsung di laman Facebook, petang tadi.
Perintah kawalan pergerakan yang bermula hari ini hingga 31 Mac, bertujuan untuk membendung penyebaran pandemik Covid-19, dengan menyekat pergerakan umum.
Walaupun kerajaan telah membuat pengecualian ke atas beberapa sektor dan perkhidmatan yang penting dan terpilih, sebahagian besar telah dinasihatkan supaya tinggal di rumah.
Sebagai contoh, pasar tani dan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau menyokong tindakan supaya penjaja kecil menghentikan sementara perniagaan mereka.
“Tetapi mereka bukan menteri dengan gaji besar, mereka hidup dalam keadaan sangat sederhana.
“Tak ada simpanan lebih satu atau dua hari. Ini juga perlu tindakan, belum ada kenyataan sedemikian. Belum ada suara tegas kementerian kewangan,” katanya.
Anwar juga pada masa yang sama melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan potensi gelombang ketiga wabak Covid-19.
Katanya, kerajaan perlu bertindak bagi memastikan bahawa perkhidmatan kesihatan tidak akan terjejas sekiranya ini berlaku.