KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN 19 Mac 2020



Image result for logo harapan


KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PRESIDEN
PAKATAN HARAPAN
19 Mac 2020

Menjamin Keselamatan Ekonomi buat Pekerja dan Perniagaan Malaysia Ketika Krisis
Pandemik COVID-19 menyebabkan gangguan di seluruh dunia dan mungkin menyebabkan
berlakunya kemelesetan ekonomi dunia. Walaupun dengan niat baik, pelaksanaan kawalan
perintah pergerakan secara tiba-tiba di seluruh negara telah menimbulkan kekeliruan dalam
kalangan orang ramai dan telah mewujudkan kelompongan ekonomi.

Tugas segera Kerajaan adalah untuk "melandaikan keluk” epidemik COVID-19 (“flatten the
curve”). Pada masa yang sama, adalah penting untuk Kerajaan memberi jaminan keselamatan
ekonomi buat pekerja dan perniagaan Malaysia dalam masa krisis sebegini supaya kesepaduan
sosial terus terpelihara. Dalam situasi getir ini, perpaduan rakyat Malaysia adalah sangat
penting.

1. Bantuan tunai segera kepada pekerja Malaysia di seluruh negara
Bantuan kewangan RM600 kepada setiap pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000,
yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk tempoh maksimum 6 bulan, melengkapkan
pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan pada 27 Februari 2020. Bantuan ini
lebih-lebih lagi perlu disampaikan kepada mereka yang terlibat dalam ‘gig economy’, seperti
pemandu e-hailing, pekerja harian yang hilang punca pendapatan, serta mana-mana kumpulan
pekerja lain yang memerlukan bantuan ini.
Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan bayaran RM200 kepada semua penerima
Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dijadualkan pada Mei 2020, akan diawalkan pada Mac 2020
dengan tambahan RM100. Kami percaya bantuan lebih menyeluruh diperlukan untuk
membantu pekerja di seluruh sektor, khususnya pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura
yang berkemungkinan tidak mendapat gaji, diberhentikan kerja, atau perlu mencari penginapan
di Singapura, kerana mereka tidak boleh bekerja atas Perintah Kawalan Pergerakan yang
diumumkan Kerajaan Malaysia.

2. Membantu PKS melalui masa sukar
Projek-projek kecil bernilai RM2 bilion untuk pembangunan luar bandar yang akan dilaksanakan
pada April 2020 tidak mencukupi. Kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan bagi membantu
PKS merentas semua sektor, terutamanya pelancongan dan runcit. Pengecualian bayaran
cukai dan lesen untuk tiga bulan akan datang perlu dilaksanakan.
Pinjaman perlu dipermudahkan untuk membolehkan pekerja dan perniagaan bertahan. Bank
Negara Malaysia harus menyediakan dana pinjaman tanpa faedah untuk memudahkan modal
kerja selagi diperlukan untuk semua sektor ekonomi (pada masa ini, kadar pembiayaan
Kemudahan Bantuan Khas yang disediakan untuk mengurangkan kejutan COVID-19 adalah
pada 3.75%). Sekiranya langkah-langkah ini tidak mencukupi, pembayaran secara langsung
hendaklah dikeluarkan.

3. Moratorium tiga bulan untuk pembayaran balik pinjaman bank
Bagi melindungi pekerjaan pekerja tempatan dan menyelamatkan perniagaan di negara ini,
moratorium selama tiga bulan amat penting untuk dilaksanakan bagi semua pembayar
pinjaman. Kadar keuntungan yang besar membolehkan bank menampung kerugian mereka. Ini
merupakan peranan pihak bank bagi menjamin keberlangsungan peniagaan dan pekerja untuk
mengelakkan berlakunya keruntuhan sistemik (“systemic collapse”).

4. Insentif tambahan untuk pekerja kerajaan barisan hadapan (frontliners)
Rakyat Malaysia amat menghargai pengorbanan penjawat awam yang merupakan pejuang
baris hadapan menentang pandemik COVID-19. Oleh itu, insentif tambahan dan kemudahan
diperlukan bagi menyokong mereka dalam menjalankan tugas yang berisiko untuk melindungi
kesihatan rakyat Malaysia.
Pada ketika ibu pertiwi dilanda krisis, solidariti dan perpaduan semakin penting untuk
memastikan rakyat mengharungi cabaran ini bersama, memastikan tiada siapa yang tercicir dan
kebajikan semua rakyat terjamin.


Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Presiden
Parti Keadilan Rakyat
(KEADILAN)

Mohamad Sabu
Presiden
Parti Amanah Negara
(AMANAH)


Lim Guan Eng
Setiausaha Agung
Parti Tindakan Demokratik
(DAP)



No comments: