Kerajaan direstui langit tapi tak dapat ilham?
Kredit : Tok Misai
Mulai sekarang, aku dengan secara rasmi menamakan kerajaan pintu belakang Muhyiddin Yassin (MY) sebagai KERAJAAN LANGIT (Kingdom of Heaven) kerana dia mendapat dokongan dari jumhur (majoriti) para ulama di Malaysia, walaupun cara dia tubuhkan kerajaan ini melibatkan pengkhianatan terhadap perjanjian, yang sepatutnya dikira melanggar prinsip keadilan dalam Islam.
Tetapi dengan dokongan kuat dari hampir semua para alim ulama di negara ini yang memandang pengkhianatan perjanjian tersebut tidak menyalahi Islam, maka umat melayu sudah tentu merasakan bahawa kerajaan MY ini mendapat restu dan redha dari Allah. Bahkan Presiden Parti Islam Se-Malaysia dan Mufti Perlis begitu memuji dan menyanjung MY yang dikatakan sangat wara’. Mufti Perlis di dalam FB-nya siap bercerita dan memuji MY seperti berikut :
“Beberapa kali saya datang (ke rumah beliau), saya dapati beliau sering berjemaah dalam rumah beliau. Beliau juga boleh menjadi imam dengan bacaan yang baik. Mungkin kelebihan ini disebabkan oleh latar (belakang) keluarga beliau.”
Bagus punya promosi ini untuk cuba yakinkan kita bahawa MY adalah orang baik dan pemimpin yang mendapat restu dari langit. Lebih2 lagi kerana ayahnya Haji Muhammad Yassin ialah seorang ulama terkenal di Muar dulu.
Mana tidaknya, video sujud syukurnya habis diviral untuk ditonton oleh semua orang. Inilah satu-satunya PM Malaysia yang sangat bersyukur bila dia dilantik jadi PM dan mempamirkan kesyukurannya, seolah-olahnya memang dia sudah lama mengidamkan jawatan ini.
Setahu aku para sahabat Nabi paling akrab yang empat orang itu – Abu Bakr as Siddiq, Umar al Khattab, Uthman al Affan dan Ali bin Abi Talib yang kesemuanya dikenali sebagai Khulafa Ar-Rasyidin (Khalifah yang mendapat petunjuk), menggigil lutut bila dilantik jadi khalifah. Abu Bakr dan Umar saling tolak menolak jawatan ini kerana takut memikul tanggung jawabnya. Mereka bukan sujud syukur, tapi menangis memohon ampun dari Allah supaya dipelihara dari membuat kesilapan yang akan mengakibatkan berlakunya kezaliman kepada rakyat.
Takpalah.. MY ini lain sebab dia bukan sahabat Nabi. Lagipun, dia memang berhajat sungguh hendak jadi PM kepada kerajaan langit yang dianggotai oleh pasukan berbangsa Melayu. Tetapi yang aku kesal ialah kenapa takda sorang pun dari 30 orang jemaah menteri kerajaan suci ini tampil ke hadapan untuk bantu rakyat waktu keadaan jadi kelam kabut malam tadi?
Beribu-ribu orang serbu stesen bas dan balai polis untuk keluar dari KL balik kampung kerana panik dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh MY pada malam sebelumnya, hingga polis pun panik jugak sebab banyak balai kena serbu. Tetapi semua menteri-menteri kerajaan langit ini senyap sunyi macam kura-kura bodoh. Takkan seorang pun dari menteri2 kerajaan langit yang suci ini tidak mendapat ilham dari langit untuk bantu menangani masalah rakyat yang sedang haru biru ini? Pelik jugak aku pikir pasal ini.
Catatan di bawah ini aku copy & paste dari posting whatsapp yang tersebar luas malam tadi. Ia adalah deskripsi terbaik untuk gambaran semalam :
1. Menteri Pengangkutan tak beritahu bagaimana pergerakan rakyat dapat dibantu tanpa menambah risiko penularan wabak.
2. Menteri Sumber Manusia langsung tak sebut secara terperinci sektor mana yang akan terjejas dan apa jaminan bagi pekerja-pekerja swasta bergaji hari.
3. Menteri Pertanian dan Industri Makanan tak beri jaminan dan mekanisme bagaimana rakyat boleh dapat cukup bekalan makanan harian dalam tempoh larangan.
4. Menteri KPDNHEP tak cakna tentang panik buying dikalangan rakyat, begitu juga dengan jualan topeng muka dan sanitizer yang menjadi kegusaran rakyat.
5. Menteri Pembangunan Usahawan dan Menteri Perusahaan, Komoditi dan Perladangan tiada langkah proaktif untuk pastikan usahawan-usahawan kecil yang terpaksa tutup bisnes dalam tempoh larangan.
6. Menteri Kerajaan Tempatan sibuk makan malam dengan taikun, tak nak ke bantu majlis perbandaran disinfeksi tempat-tempat awam seperti masjid.
7. Menteri Pengajian Tinggi lambat buat pelan pergerakan pelajar yang terpaksa pulang ke kampung kerana IPT ditutup.
8. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat gagal sediakan solusi bagi membantu ibu-ibu bekerja yang terpaksa jaga anak kerana penutupan taska.
9. Menteri Dalam Negeri yang sepatutnya menjadi tonggak dalam isu ini, langsung tak dengar cerita.
10. Menteri Tugas-tugas Khas yang kita pun tak tahu apa tugasnya. Sepatutnya dalam situasi begini, dia diberi tugas penting. Barangkali masih sibuk dengan kereta terbang.
11. Perdana Menteri, buat mesyuarat nasional tentang COVID-19, tak jemput Menteri Besar parti lawan!
Macam mana kerajaan langit boleh biarkan rakyat jadi kelam kabut begini? Bukankah ini kerajaan Melayu Islam yang suci lagi bersih kerana semua menteri-menterinya telah diberi “clearance” oleh pihak polis dan SPRM? Bukankah kerajaan ini juga disertai oleh lebai-lebai beriman yang dilantik sebagai menteri kepada 3 buah kementerian? Dan bukankah kafir DAP tidak ada lagi dalam kerajaan ini?
Sama-samalah kita lihat bagaimana MY dan pasukan kerajaan langitnya akan “perform” selepas ini. Kita lihat jika prestasi mereka untuk menjaga kebajikan rakyat akan lebih cemerlang dari kerajaan PH sebelum ini yang mereka kata adalah kerajaan kafir yang tidak diredhai Allah. Aku harap sangat prestasi kerajaan langit ini nanti tidak akan jadi lebih teruk dari kerajaan PH yang telah kena “game” dengan anak Lebai Yassin.
Jangan bagi malu Kerajaan Langit beb! Hidup Melayu!