Najib ada RM2.6 bilion: Haron, Hadi masih tak percaya ?

OLEH:  Amiruddin Ahmad

 

Selepas SPRM mengesahkan wang RM2.6 bilion yang dipertikaikan oleh Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report dalam akaun peribadi Najib adalah derma politik, perhatian kini tertumpu kepada Mursyidul Am Pas Haron Din dan Presiden Pas, Hadi Awang.

Haron dilapor berkata, logik akal menyatakan jika seseorang mahu mengambil dana awam ke akaun persendirian, mereka tidak akan melakukan sebegitu sebaliknya akan disalurkan ke akaun rahsia.

Presiden Pas Hadi Awang pula selepas itu membela kenyataan Haron dengan berkata:

"Pendirian kita pendirian Islam. Kalau tuduhan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kena ada empat saksi, sama juga dengan tuduhan ke atas Najib, kena ada saksi juga... saksi yang adil.


"Kita ikut asas Islam, sikap yang baik kita sokong, yang tidak baik kita tentang,” katanya kepada Astro Awani, 7 Julai lalu.

Kini, semuanya telah terang lagi bersuluh. SPRM adalah saksi yang sangat berwibawa sebagaimana yang disyaratkan Hadi, dan sebarang keterangan pegawai penyiasat suruhanjaya itu boleh terus dijadikan bahan perbicaraan mahkamah.

Haron, Hadi menyepikan diri

Persoalannya, di manakah Haron dan Hadi selepas membela Najib? Mengapakah mereka menyepikan diri?

Pembelaan semberono ke atas Najib oleh ulama-ulama besar Pas ini mengelirukan ahli. Ahli Pas menganggap ulama adalah institusi yang amat suci dan sebarang kelemahan mereka tidak boleh diterima.

Dalam keadaan seperti itu tidak selayaknya ulama Pas membela Najib dan pemimpin BN yang telah diketahui dibelit pelbagai skandal kewangan. Adakah Hadi tidak pernah mendengar pendedahan oleh Tengku Razaleigh Hamzah bagaimana tokoh-tokoh Umno mencuri wang sepanjang 1980an lalu?

Atau adakah Hadi dan Haron tidak percaya kepada pendedahan Anwar bagaimana penyamun-penyamun dalam BN membahagi-bahagikan harta rakyat antara sesama mereka?

Janji BN

Bukankah Hadi dan Haron ketika era Fadzil Noor dan Nik Aziz dulu juga mengecam pemimpin BN kerana menyelewengkan harta rakyat? Jadi mengapakah mereka tiba-tiba berpaling tadah?

Persoalan inilah yang perlu difikir masak-masak oleh ahli Pas sebelum bersedia untuk walak membuta tuli kepada pemimpin tertinggi mereka. Tidak pernahkah terdetik di hati ahli Pas kedua-dua tokoh ulama ini telah dijanjikan sesuatu oleh pemimpin BN apabila seorang menteri pernah mendedahkan telah berlaku tiga kali pertemuan antara Hadi dan Najib.

Adakah hanya janji untuk melaksanakan Hudud di Kelantan diberikan atau pemimpin BN menjanjikan sesuatu yang lebih besar sehingga tokoh-tokoh tertinggi Pas bersungguh-sungguh membela Najib?

Sekiranya kerjasama Umno-Pas adalah termasuk dalam pakej hudud yang dibincangkan maka seharusnya ahli Pas meninggalkan parti itu kerana telah diselewengkan arah perjuangannya. Pas kini dilihat semakin menghampiri zaman kepimpinan Asri Muda, yang mana perkongsian kuasa bersama BN adalah keutamaan kononnya demi Melayu.

Kepiminan ulama

Kepimpinan ulama yang diasaskan sejak era Yusof Rawa tidak mengutamakan Melayu tetapi mendaulatkan prinsip ketuanan Islam. Sekiranya Hadi dan Haron mahu membawa kembali perjuangan nasionalisme Islam era Asri maka wajiblah ahli Pas menyertai Gerakan Harapan Baharu seberapa segera bagi membela rakyat Malaysia yang dizalimi BN.




Sekiranya mereka mahu meneruskan walak tanpa berfikir, sekurang-kurangnya, seperti akar umbi Umno yang menyoal Najib ke manakah wang derma RM2.6 bilion dibelanjakan, ahli Pas juga wajib menyoal Hadi dan Haron apakah pendirian mereka selepas SPRM mengesahkan Najib adalah pemilik dana yang didedahkan WSJ?

Berdiam diri bukanlah jawapan dari ulama yang muktabar. Jika mereka mahir hukum hakam maka segeralah keluarkan kenyataan seperti Mufti Perlis Mohd Asri Zainal Abidin yang berpendapat haram seorang penjawat awam menerima sumbangan sebesar RM2.6 bilion.