BN dijangka menang di Melaka, Rauf bakal ketua menteri



Oleh BORHAN AHMAD / November 10, 2021

Berdasarkan tinjauan dan analisis semasa, Barisan Nasional (BN) dijangka akan memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka kerana pengundi Cina yang menjadi penyokong tegar Pakatan Harapan sebelum ini buat masa sekarang enggan keluar mengundi.

Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali yang sudah dua kali berkampung di Melaka sejak PRN diumumkan berkata, peratusan orang Cina tidak mahu keluar mengundi agak besar sekarang.

“Berdasarkan data ini, saya rasa Barisan Nasional (BN) akan menang dan Pengerusi BN yang juga Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh bakal dinobatkan sebagai Ketua Menteri Melaka selepas PRN nanti,” beritahu Mazlan ketika ditemui Malaysia Dateline di Melaka.

Rauf yang sebelum ini adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka bertanding mewakili BN di DUN Tanjung Bidara, salah satu kerusi yang paling selamat untuk Umno di Melaka.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon BN Datuk Md Rawi Mahmud menang dengan Majaoriti 2,864 mengalahka calon PH.

Dalam PRN ini, beliau akan bertembung dengan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Bersatu) dan Zainal Hassan (PH-PKR).

Menurut Dr Mazlan, keputusan pengundi Cina untuk tidak turun mengundi sesetengahnya kerana kekecewaan mereka apabila Pakatan Harapan tetap mengambil dua calon Umno dalam pilihan raya lalu yang didakwa mereka sebagai pemimpin yang tidak ada intergriti kerana ‘melompat’ parti.

“Bagi mereka, kerana sikap lompat parti inilah yang menjadi punca kerajaan PH jatuh dahulu. Jadi mereka tidak senang dengan tindakan ini dan mengambil keputusan tidak akan keluar mengundi dalam PRN ini,” kata Dr Mazlan.

Menurut Dr Mazlan, apabila orang Cina tidak keluar mengundi sedangkan Rauf dan Umno pula mendapat banyak sokongan di kalangan orang Melayu terutama di kampung-kampung, ia akan membolehkan BN menang dalam PRN ini.

Dr Mazlan sebelum ini juga berkata, berdasarkan kajian beliau, dua pemimpin dan Adun Umno yang diambil oleh PH sebagai calon mereka itu mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang Melayu di Melaka.

Bagi pemimpin Pakatan Harapan pula, kedua-dua mereka, iaitu Datuk Seri Idris Harun dan Datuk Nor Azman Hassan yang menjadi calon PH dalam PRN ini tidak melompat parti tetapi mereka hanya keluar dari menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebelum ini.

Selepas itu, mereka telah dipecat oleh Umno kerana menjatuhkan kerajaan Umno pimpinan Sulaiman itu.

Selepas tidak lagi menjadi ahli mana-mana partinya, PH menawarkan kerusi untuk kedua-duanya dan menolak dua lagi rakan mereka yang menarik diri dari kerajaan pimpinan Datuk Seri Sulaiman itu, kata mereka.

PH menolak Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu -Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) yang terlibat menjatuhkan kerajaan PH sebelum ini untuk menjadi calon mereka dalam PRN ini.