Posted By: Selena Tay
Exco Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin meminta semua pihak bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi memulihkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, tidak ada gunanya peruntukan yang banyak dalam Belanjawan 2019 lalu sekiranya kakitangan kerajaan masih menyokong BN dan tidak menggerakkan perkhidmatan awam sebaik-baiknya bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Walaupun PH sudah menang pilihan raya umum – 14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, ada ramai orang (perkhidmatan awam) yang tidak boleh menerima hakikat ini dan mereka masih menyokong BN.
“Ini menyukarkan PH di peringkat pentadbiran apabila ada pihak yang tidak mahu memainkan peranan untuk menggerakkan negara ke depan ke arah wawasan baru.
“Tidak boleh dinafikan bahawa masih ramai dalam sektor kerajaan yang menyokong BN. Tun Dr Mahathir pun pernah kata begitu. Dengan situasi begini, negara sukar untuk mengorak langkah mencapai kemajuan.
“Sudah tiba masanya untuk ahli-ahli politik BN serta pengikut-pengikut mereka mengubah minda dan bekerjasama dengan PH demi kebaikan rakyat .
“Selepas PRU14, tidak kira siapa menang atau kalah, adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan semua untuk menggembleng tenaga dan bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira fahaman politik, bangsa atau agama,” ujar Nizar yang juga ADUN Sungai Rapat kepada Suara pakatan daily.
Beliau tutut menyeru agar kedua-dua pihak belajar untuk menjadi kerajaan mahu pun pembangkang yang baik. Perseteruan berterusan, kata Nizar, akan memangsakan rakyat dan tidak akan menguntungkan sesiapa.
“Yang penting kedua-dua pihak, pembangkang dan kerajaan mesti cepat belajar selok-belok dan peranan mereka, kerana negara memerlukan satu kerajaan yang berkesan dan cekap dalam urus-tadbir
“Negara juga memerlukan pembangkang yang berfikiran progresif dan bijak membawa isu ke Dewan Rakyat, terutamanya isu-isu kewangan serta ekonomi.
“Malangnya, kita lihat pihak pembangkang ramai yang berfikiran kolot dan ada setengah-setengahnya masih lagi mengungkitkan isu perkauman dan mengaitkannya dengan DAP,” kata Nizar kesal.