Saya merasa amat bimbang apabila mendengar ura-ura
tentang kerajaan akan mengembalikan semula GST bertujuan untuk menambah
pendapatan negara.
Kita semua sedar, rakyat telah menolak sistem
percukaian GST ini, buktinya mereka telah menolak kerajaan Umno/Bn pada PRU14
yang lalu kerana kerajaan waktu itu telah melaksanakan GST sebanyak 6% yang
ternyata amat membebankan rakyat. Kerajaan PH telah diberi mandat oleh rakyat
kerana kita telah berjanji untuk menghapuskan GST sepertimana di dalam
manifesto PH dan kita telah merealisasikannya selama 22 bulan sebagai kerajaan.
Kerajaan PH tumbang bukan kerana rakyat menolak kerajaan PH tetapi adalah
kerana pengkhianatan melalui "Langkah Sheraton".
Apakah kerajaan sekarang berfikir rakyat akan
senang dan bergembira dengan cadangan kerajaan untuk mengembalikan GST semula?
Bayangkan, di dalam keadaan tiada GST sekarang ini pun rakyat bergelut dengan
kos sara hidup yang semakin tinggi dan barang-barang keperluan asas yang
meningkat naik harga, apakah semua masalah ini akan selesai dengan wujudnya
GST?
Masalah negara ini sekarang bukan kerana tiadanya
GST. Masalah negara ini adalah kerana kerajaan sekarang tidak mendapat mandat
rakyat dan pemimpinnya amat lemah di dalam menguruskan negara. Pembaziran
berleluasa dan korupsi gagal ditangani dengan baik. Kerajaan membazirkan wang
rakyat dengan melantik begitu ramai menteri dan timbalan menteri serta
penasihat-penasihat, sedangkan majoritinya tidak mampu melaksanakan tugas.
Alangkah baiknya sebelum memikirkan soal
mengembalikan GST, kerajaan perlu berkorban terlebih dahulu iaitu dengan cara
menghentikan projek-projek mewah, mengurangkan jumlah menteri-menteri dan
penasihat dan bertegas dalam soal rasuah. Jangan hukum rakyat dengan GST
apabila kamu kekurangan pendapatan akibat tindakan kamu yang bermewah-mewah.
Rakyat harus bangkit menentang sebarang tindakan
untuk melaksanakan GST di dalam keadaan rakyat mengikat perut sekarang.
Golongan wanita terutamanya kaum ibu amat merasai dan terkesan tentang kenaikan
harga barang sekarang kerana mereka lah yang sering ke pasar untuk membeli
barangan keperluan dapur.
Saya merasakan satu tanggungjawab besar kepada
wanita Keadilan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepincangan kerajaan
sekarang. Atas dasar itulah saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan MPWP
agar dapat berganding bahu dengan kepimpinan wanita Keadilan untuk memainkan
peranan besar ini.
NORAZIAH BINTI MOHD RAZIT
Calon MPWP