Bekalan air: Rakyat dapat angin, kerajaan Kelantan harus beri diskaun 20 meter padu


 Pengerusi NGO Save Kelantan, Datuk Husam Musa mencadangkan agar kerajaan Kelantan memberi diskaun harga air kepada rakyat di negeri itu kerana masalah bekalan air yang gagal disediakan secara sempurna.



Hal itu, kata Husam boleh memberi pampasan buat rakyat yang menghadapi masalah tekanan air rendah dan hanya menerima angin apabila membuka kepala paip.



Kata Husam, Kerajaan Negeri seharusnya memberi diskaun 20 meter padu air sebulan sehinggalah masalah tersebut diselesaikan.



"Bila air tak ada, dia ada angin. Angin tolak meter. Meter berpusing (caj) dikenakan kepada pengguna, air tak ada.



"Pengguna tanggung beban lain, pasang pam bila air tekanan rendah, pasang tangki. Kos yang lebih tinggi kepada rakyat



"Kalau Save Kelantan diberi peluang nasihat kerajaan akan datang dengan anggapan (kerajaan) bertukar tangan kepada yang Save Kelantan sokong, maka saya nak cadang apa yang dibuat di Selangor (air percuma 20 meter padu) dilakukan di Kelantan sehingga tempoh bekalan air diselesaikan.



"Kalau tak boleh 20 meter, 10 meter sebulan pun tidak mengapa. Selangor di bawah PH pernah beri 20 meter padu. Kerajaan Kelantan kenakan caj kepada penduduk, termasuk (biar pun) pusingan meter angin," katanya dalam temubual bersama Sumberkini, malam tadi.



Menjawab pertanyaan nasihat yang boleh diberi kepada pengundi luar Kelantan yang akan pulang mengundi, Husam mencadangkan agar mereka membuat sedikit kerja rumah sebelum memangkah semula Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.



"Pengundi Kelantan dari luar mereka bukan tak pandai. Mereka kebanyakannya teknokrat, profesional, peniaga berjaya. Mereka sebenarnya bukan 100% nak kepada Pas. Mereka ada penolakan kepada lawan Pas.



"Sebab kebencian mereka kepada Umno lebih tinggi, jadi mereka pilih Pas. Sebahagian sokong Pas kerana Pas waktu itu bersih, nak bawa agenda Islam.



"Hari ini nasihat saya, kajilah pentadbiran Pas. Adakah benar pentadbiran Pas bila bagi tanah dan lombong, yang dapat orang Melayu dulu, anak Kelantan atau pun dapat kepada orang asing?



"Pentadbiran Kelantan dalam semua segi adakah mereka tak rasuah? Kita tak boleh kata tak rasuah kerana tak ada yang dihadap ke mahkmah. Tetapi perlakuan rasuah itu mungkin berlaku. Dikatakan kerajaan bawa agenda Islam. Apa beza Selangor dan Kelantan dalam syiar Islam? Tak ada beza.



"Masjid di Selangor saya solat Jumaat, bulan Ramadan, lebih meriah lagi kuliahnya daripada Kelantan. Kelantan kuliahnya berunsur politik," kata Husam.



Anak didik bekas Musyidul Am Pas Nik Aziz Nik Mat itu berkata, Pas ketika ini sebenarnya telah kehabisan modal politik terutama perkara yang akan dijanjikan dalam PRU akan datang.



Katanya, selepas Pas memerintah Kerajaan Persekutuan kelemahan mereka terserlah dan hampir tiada janji berkaitan Negara Islam yang mampu mereka realisasikan dalam 2 tahun pemerintahan.



"Dulu nak buat hudud, RUU 355 sekarang tak berbunyi kerana itu hanya agenda politik bukan komitmen. Islam itu luas, termasuk jaga alam sekitar, beri kerja rakyat jelata, hapus masalah sosial. Ini semua islamik



"Kita ambil Dubai dan Abu Dhabi misalnya. Negara kecil sahaja tetapi ada dua syarikat penerbangan. Kita jangankan Kelantan, Malaysia saja syarikat MAS dah nak mati.



"Kelantan banyak ketinggalan dari pelbagai segi, misalnya mahkamah syariah, hakim hakim mahkamah syariah, banyak penangguhan kes dan sebagainya.



"Jadi saya harap rakyat Kelantan di perantauan boleh mengkaji prestasi dan pencapaian kerajaan secara menyeluruh. Jangan tangkap muat, kata Islam, pangkah," kata Husam lagi.

 

No comments: