WANITA LEBIH MEMAHAMI PERITNYA KESAN GST



Saya merasa amat bimbang apabila mendengar ura-ura tentang kerajaan akan mengembalikan semula GST bertujuan untuk menambah pendapatan negara.

Kita semua sedar, rakyat telah menolak sistem percukaian GST ini, buktinya mereka telah menolak kerajaan Umno/Bn pada PRU14 yang lalu kerana kerajaan waktu itu telah melaksanakan GST sebanyak 6% yang ternyata amat membebankan rakyat. Kerajaan PH telah diberi mandat oleh rakyat kerana kita telah berjanji untuk menghapuskan GST sepertimana di dalam manifesto PH dan kita telah merealisasikannya selama 22 bulan sebagai kerajaan. Kerajaan PH tumbang bukan kerana rakyat menolak kerajaan PH tetapi adalah kerana pengkhianatan melalui "Langkah Sheraton".

Apakah kerajaan sekarang berfikir rakyat akan senang dan bergembira dengan cadangan kerajaan untuk mengembalikan GST semula? Bayangkan, di dalam keadaan tiada GST sekarang ini pun rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan barang-barang keperluan asas yang meningkat naik harga, apakah semua masalah ini akan selesai dengan wujudnya GST?

Masalah negara ini sekarang bukan kerana tiadanya GST. Masalah negara ini adalah kerana kerajaan sekarang tidak mendapat mandat rakyat dan pemimpinnya amat lemah di dalam menguruskan negara. Pembaziran berleluasa dan korupsi gagal ditangani dengan baik. Kerajaan membazirkan wang rakyat dengan melantik begitu ramai menteri dan timbalan menteri serta penasihat-penasihat, sedangkan majoritinya tidak mampu melaksanakan tugas.

Alangkah baiknya sebelum memikirkan soal mengembalikan GST, kerajaan perlu berkorban terlebih dahulu iaitu dengan cara menghentikan projek-projek mewah, mengurangkan jumlah menteri-menteri dan penasihat dan bertegas dalam soal rasuah. Jangan hukum rakyat dengan GST apabila kamu kekurangan pendapatan akibat tindakan kamu yang bermewah-mewah.

Rakyat harus bangkit menentang sebarang tindakan untuk melaksanakan GST di dalam keadaan rakyat mengikat perut sekarang. Golongan wanita terutamanya kaum ibu amat merasai dan terkesan tentang kenaikan harga barang sekarang kerana mereka lah yang sering ke pasar untuk membeli barangan keperluan dapur.

Saya merasakan satu tanggungjawab besar kepada wanita Keadilan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepincangan kerajaan sekarang. Atas dasar itulah saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan MPWP agar dapat berganding bahu dengan kepimpinan wanita Keadilan untuk memainkan peranan besar ini.

NORAZIAH BINTI MOHD RAZIT

Calon MPWP