Kerjasama Malaysia - Google sedia latihan digital 300,000 rakyat tempatan



 



Oleh: Helmi Mohd Foad



Kerjasama strategik yang dijalinkan oleh Malaysia dan Google bakal mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan dalam ekonomi digital yang berkembang pesat.



Ia turut membuka peluang peningkatan kemahiran inklusif kepada 300,000 rakyat Malaysia menjelang 2026 dengan menyediakan lebih banyak peluang latihan digital kepada rakyat Malaysia tanpa sebarang kos.



Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen terbaharu Google yang bertujuan untuk mempercepat inovasi tempatan dan pembangunan tenaga kerja dalam bidang kecerdasan buatan (AI) pastinya akan meningkatkan daya saing digital negara selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).



"Rangka Kerja Ekonomi MADANI Malaysia disasarkan untuk meningkatkan saiz ekonomi Malaysia, serta memastikan semua pihak berkepentingan terutamanya rakyat dan perniagaan kecil dapat menikmati faedah sosio-ekonomi seterusnya," katanya di San Francisco, Amerika Syarikat hari ini.



Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam menghadiri sidang APEC mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi teknologi seperti Google, Enovix Cooperation, Microsoft dan TikTok di sini.



"Saya telah mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat besar yang telah memberi pengakuan akan melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran," katanya.



Anwar berkata sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas merupakan antara faktor penting yang menarik minat syarikat terbabit untuk melabur di Malaysia.



"Proses kelulusan juga akan memberi keyakinan kepada mereka. Kepantasan kehadiran pelabur baharu akan memberikan satu rekod baharu kepada Malaysia," katanya kepada pemberita Malaysia selepas sesi pertemuan tersebut.



Google diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan, Ketua Pegawai Kewangannya Ruth Porat, Enovix Cooperation diwakili Ketua Pegawai Operasinya Ajay Marathe, Microsoft Asia oleh Presidennya Ahmed Mazhari manakala TikTok oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Shou Zi Chew.



Kawasan San Francisco Bay menjadi tumpuan banyak syarikat Fortune 500 utama untuk bertapak di sini yang mana kebanyakannya adalah firma inovatif dalam pembangunan Kecerdasan Buatan (AI), bioteknologi, perisian, teknologi bersih dan media sosial.



Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat daripada Rakan Pengasas, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah TPG, Jim Coulter. TPG merupakan syarikat pengurusan aset alternatif utama global.



Anwar tiba di San Francisco pada Isnin lalu bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM) dari 14-17 November yang merupakan lawatan sulung beliau bagi mesyuarat Kerjasama Asia Pasifik (APEC) sebagai Perdana Menteri.



Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta para pegawai kanan kerajaan yang lain.



Dalam pada itu, Google dalam kenyataan berkata kerjasama itu bermatlamat untuk membantu perniagaan dari semua saiz memajukan daya saing digital mereka melalui program kemahiran, pelaburan dalam infrastruktur digital, inovasi AI yang bertanggungjawab dan dasar mengutamakan awan, lapor Bernama.



Google berkata inisiatif terbaharu itu adalah bersandarkan kepada pelaburannya di Malaysia sejak 12 tahun lepas.



Pada 2022, produk dan program syarikat itu menyokong lebih 47,900 pekerjaan dan turut menyumbang sama ada secara langsung dan tidak langsung kepada perniagaan tempatan dengan manfaat ekonomi bernilai kira-kira AS$2.8 bilion.



"Perkongsian yang kami umumkan hari ini dengan Kerajaan Malaysia menyelaraskan misi tempatan Google untuk memajukan Malaysia dengan matlamat kerajaan bagi mewujudkan ekosistem yang menyokong inovasi termasuk peluang pekerjaan yang saksama," kata Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan, Ketua Pegawai Kewangan, Alphabet dan Google, Ruth Porat.

 

No comments: