BN masih berpeluang memperbaiki diri: Jadi pembangkang sepenggal dua — Aspan Alias

BN masih berpeluang memperbaiki diri: Jadi pembangkang sepenggal dua — Aspan Alias

March 31, 2013
31 MAC — BN masih dalam kegelisahan. Hari Jumaat yang lepas, saya telah mendengar apa yang dikatakan oleh juruhebah radio yang mereka sedang menunggu pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri pada bila-bila masa sahaja semasa itu. Dalam hati saya “at last, Najib is brave enough to dissolve the Parliament”. Saya terus sahaja berhenti di tempat makan untuk makan tengah hari. Jam semasa itu sudah 3 petang kerana agak teruk juga keadaan di jalan raya selepas solat Jumaat itu.

Saya pun tertunggu-tunggu untuk mendengar pengumuman itu dan saya tidak berhenti-henti menerima sms dari rakan-rakan memberitahu saya yang PM akan membuat ‘press conference’ untuk pembubaran Parlimen tetapi sampai ke malam hari tiada juga pembubaran itu. Pada malamnya dalam perjalanan ke Sekinchan untuk berceramah, saya telah mendapat berita apa yang dikatakan oleh juruhebah radio itu tidak berlaku dan pihak berwajib telah menafikan berita pembubaran itu.

Pagi tadi saya telah difahamkan yang BN masih mempunyai masalah besar yang belum dapat diselesaikan. Masalah ‘inter-party’ dan ‘intra-party’ masih menyelubungi BN dan pengumuman itu terpaksa ditunda lagi. Seorang sahabat saya dari Umno memberitahu saya, “jangan susah, pilihanraya akan diadakan juga, percayalah...selewat-lewatnya sebelum dunia kiamat, Najib akan umumkan tarikh pilihanraya itu,” dalam mood menyindir.

Saya selalu menulis tentang isu ini dalam penulisan saya sejak setahun yang lalu. BN sesungguhnya mempunyai masalah pembahagian kerusi. MCA terlalu meminta-minta kerusi yang lebih sedangkan parti itu tidak mendapat sokongan lagi. Umno sebenarnya sudah menganggap MCA ini sebagai ‘baggage’ yang besar dan tidak boleh mendapat kerusi yang terlalu banyak. Malahan mengikut pandangan ramai ahli-ahli Umno sendiri berpendapat membawa MCA bersama merupakan satu beban yang besar.

Umno sendiri sudah tidak berdaya menanggung bebannya sendiri, tetapi ditambah pula dengan bebanan yang diberikan lagi oleh MCA dan rakan-rakan kongsi yang lain dalam BN itu. Itu masalah ‘inter-party’. Bagaimana pula dengan masalah ‘intra-party’ dalam Umno dan MCA itu sendiri? Apa yang saya jangkakan dahulu sudah terbit buktinya. Dulu saya selalu mengatakan kalau hendak tengok macam mana seriusnya perpecahan di dalam Umno itu.

Saya telah memberitahu yang sejurus sahaja nama-nama calon diumumkan Umno akan berpecah lagi. Sabotaj terhadap parti oleh ahli-ahli dan pekerja pilihanraya mereka sendiri akan memainkan peranan untuk menjatuhkan calon parti mereka. Mensabotaj parti itu merupakan budaya yang tegar dalam Umno sejak sepuluh tahun dahulu sekurang-kurangnya. Kalau apa yang saya katakan ini tidak benar, masakan Dr Mahathir telah memanggil pimpinan peringkat bahagian seluruh negara datang secara bergilir-gilir untuk mengangkat sumpah untuk tidak mensabotaj parti dalam pilihanraya kali ini.

Apa semuanya ini? Kalau terpaksa mengangkat sumpah di depan Dr Mahathir yang mereka tidak akan sabotaj parti, itu menunjukkan yang Umno pada hakikatnya sudah mati keseluruhan semangatnya. Jika Umno menghadapi masalah di kalangan ahli-ahlinya sendiri, bagaimana parti ini diberikan mandat pula? Jangan sekali-kali memberikan sokongan kepada parti yang bermasalah kerana mereka tidak akan mentadbir dengan betul jika mendapat mandat nanti.

Isu pemilihan calon masih tidak dapat diselesaikan bagi setengah kawasan yang diwakili oleh Umno dalam pilihanraya ini. Sedangkan masalah Umno di Perlis, negeri yang terkecil dalam negara itu pun tidak dapat diselesaikan, bagaimana hendak menyelesaikan masalah Umno di seluruh negara? Selagi pimpinan Umno takut kepada ‘warlords’ yang sedang mengambil kesempatan semasa Umno dalam krisis ini, masalah tidak akan selesai walaupun pilihanraya sudah diumumkan.

Blog ini selalu menasihatkan agar Umno menumpukan terhadap masalah dalaman mereka sendiri daripada menumpukan tenaga untuk ‘mengerjakan’ pihak pembangkang. Dalam pembangkang tidak menghadapi banyak masalah seperti yang dihadapi oleh Umno. Lim Kit Siang hendak berpindah ke Gelang Patah dalam pilihanraya kali ini tidak menghadapi masalah.

Penghijrahan pemimpin-pemimpin DAP dan PAS ke Johor itu menunjukkan yang pemimpin pembangkang berani menghadap risiko semata-mata untuk mementingkan demokrasi untuk kebaikan rakyat dan negara. Menang kalah bukan ‘ultimate’ bagi pemimpin-pemimpin ini. Yang terpenting ialah untuk mendidik rakyat untuk melangsungkan demokrasi dengan sepenuhnya. Sallahudin Ayob sanggup meninggalkan kawasan selamat di Kelantan untuk memperjuangkan semangat demokrasi itu.

Kalau dahulu pemimpin-pemimpin dari negeri lain berhijrah ke Kelantan tetapi sekarang keadaan sudah terbalik. Pemimpin dari Kelantan pula yang kembali ke Johor untuk meningkatkan perjuangan seperti juga yang dilakukan oleh Lim Kit Siang. PAS dan DAP adalah parti yang hidup dan berkesan. Sebaliknya, Umno menghadapi masalah-masalah yang masih tidak selesai kerana kali ini merupakan krisis keyakinan yang paling besar mereka hadapi dalam sejarah kemerdekaan negara.

Kedua-dua parti ini telah mengalami puluhan tahun zaman susah mereka kerana tekanan parti pemerintah. Sekarang ini PAS dan DAP sedang menghadapi zaman mudahnya untuk mendekati rakyat dengan lebih hampir lagi.

Hanya media perdana sahaja yang belum lagi membuat perubahan untuk lebih terbuka dalam menghadapi demokrasi yang kian hari kian menjadi tuntutan rakyat. PAS dan DAP sedang mengecapi apa yang disebut dalam peribahasa, ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.

Walaubagaimanapun kehendak rakyat kali ini adalah ‘predictable’. Samada Parlimen dibubarkan esok atau penghujung bulan April nanti keputusannya tetap sama. Rakyat mahukan perubahan dan mahukan kerajaan yang baru.

Tindakan untuk melakukan perubahan ini, bukannya satu jenayah.

Dalam pada itu Umno juga boleh mencuba untuk melakukan perubahan tetapi semasa mereka berada di luar kerajaan. Umno akan merasakan nikmat menjadi pembangkang kerana semasa menjadi pembangkang parti itu akan berkesempatan untuk meningkat jati diri mereka dan menjadi parti yang mempunyai perjuangan yang betul.


PAS dan DAP mengalami berada di luar kerajaan puluhan tahun lamanya. Itulah sebabnya parti-parti itu lebih mantap dari segi perjuangan mereka.

Umno akan tetap menjadi parti yang lebih baik jika parti itu melalui proses memperbaiki diri dengan berada di luar kerajaan buat satu atau lebih baik dua penggal pilihanraya. — aspanaliasnet.blogspot.com



* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.