MCMC panggil penjawat awam siasat komen jelik 3R.



KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam berusia 29 tahun dari Sungai Petani, Kedah dipanggil memberi keterangan berhubung komen jelik berkaitan 3R (agama, raja dan kaum) menerusi media sosial TikTok.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, lelaki berkenaan disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Khamis lalu selepas aduan diterima berhubung komen jelik yang dimuatnaiknya.

"MCMC menemukan akaun TikTok yang disiasat pada telefon pintar suspek.

"Semua barangan kes yang berkaitan dirampas dan disita untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, MCMC menyerahkan Notis Kehadiran pada hari yang sama kepada suspek mengikut prosedur yang ditetapkan.

Justeru, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komunikasi yang bertentangan dengan undang-undang di negara ini, khususnya kandungan membabitkan 3R yang berpotensi menggugat ketenteraman awam.

"Sementara itu, penjawat awam juga diingatkan untuk tidak menggunakan media sosial bagi tujuan menyebarkan mesej yang melanggar undang-undang negara, seperti yang terkandung dalam peringatan berkaitan arahan larangan membuat pernyataan awam oleh pegawai awam," katanya.