TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA vs MELAYU HILANG 10 TAHUN LAGI





RAFIZI RAMLI



Saya selalunya bercuti dengan isteri dan anak melawat tempat-tempat yang kita banyak dengar cerita tetapi jarang berkesempatan melihat sendiri. Cuti sekolah baru-baru ini saya bawa anak dan isteri menziarahi makam Hang Tuah.

Kebetulan minggu ini timbul isu Melayu akan hilang 10 tahun dari sekarang. Amaran itu diberikan oleh Tun Mahathir, yang telah mewarnai dan mempengaruhi masyarakat dan negara kita sejak lebih 60 tahun lepas.

Amaran Tun Mahathir itu cukup berbeza dengan kata-kata semangat yang dikaitkan dengan Laksamana Hang Tuah 500 tahun lalu, iaitu “takkan Melayu hilang di dunia”.

Persoalan mengenai kedudukan Melayu dalam masyarakat dan negara ini telah menjadi salah satu isu pokok sejak seratus tahun lalu. Seperti juga isu-isu lain yang berupaya mempengaruhi emosi masyarakat, ada pelbagai pandangan mengenainya. Sebahagian pandangan itu bersifat ekstrem, ada juga yang menolaknya seolah-olah ia bukan pun satu isu.

Lazimnya, pandangan yang paling selari dengan perasaan rakyat terbanyak adalah yang berada di tengah-tengah, yang mewakili majoriti yang senyap (“the silent majority”).

Adakah kita wajar berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan pencapaian masyarakat Melayu sekarang?

Pandangan saya, ada perkara-perkara yang wajar memberi lebih keyakinan kepada kita bahawa keadaannya tidaklah seperti yang digambarkan Tun Mahathir.

Contohnya, orang Melayu kini membentuk kelas pertengahan (middle class) yang besar dalam negara kita berbanding 50 tahun dahulu. Orang Melayu juga membentuk kelas profesional yang besar. Kejayaan membina kelas pertengahan dan kelas profesional yang besar ini adalah bukti orang Melayu berkemampuan menaiki mobiliti sosial melalui pelaburan kerajaan dalam pendidikan.

Tetapi, saya faham jika ada yang sering mempersoalkan mengenai penguasaan Melayu dalam bidang ekonomi. Isu yang sering dibangkitkan ialah sama ada peluang ekonomi yang disediakan oleh kerajaan mencukupi untuk melonjakkan penguasaan ekonomi orang Melayu.

Di sinilah asalnya doktrin “Melayu Akan Hilang” jika kuasa politik tidak dimonopoli oleh beberapa kerat elit Melayu, seperti yang dibawa oleh Tun Mahathir. Beliau menyamakan kuasa politik sebagai lubuk harta yang boleh digunakan untuk memberi keistimewaan ekonomi (orang kita selalu panggil sebagai “projek”) kepada beberapa kerat orang Melayu terpilih, atas alasan demi menyamakan keupayaan ekonomi Melayu dengan bukan Melayu.

Jika saya menjadi ahli politik dalam tahun 70an atau awal 80an, saya mungkin bersifat terbuka dengan doktrin itu, kerana ia mungkin berupaya melahirkan hartawan Melayu yang membawa syarikat Melayu ke persada antarabangsa. Mungkin kita ada syarikat-syarikat besar seperti mana Samsung, LG, Hyundai dan seumpamanya merubah ekonomi Korea Selatan.

Namun kita telah melalui zaman itu. Tun Mahathir telah pun melaksanakan ideanya untuk melahirkan beberapa hartawan ternama dari kalangan niagawan Melayu dengan campur tangan kerajaan. Eksperimen itu tidak berjaya selepas diuji dengan krisis kewangan Asia Timur tahun 1997/98.

Kita juga tahu kesan sampingan dari doktrin mencampur aduk kuasa politik dan korporat yang dibawa oleh Tun Mahathir ini. Soal tata kelola bercampur aduk apabila sektor ekonomi utama boleh diberikan kepada individu tertentu; dan individu-individu tersebut perlu menyumbang wang untuk membantu ahli-ahli dan parti-parti politik.

Pada saya, kita telah melalui semua ini hasil dari doktrin kuasa politik-korporat yang dibawa Tun Mahathir ini (“been there, done that”).

Maka cabaran orang Melayu dalam bidang ekonomi, pada ketika ini, ialah untuk kembali kepada landasan asal yang digagaskan dalam 15 tahun pertama selepas merdeka, iaitu:

1) Bagaimana melonjakkan kelas menengah Melayu dari kumpulan yang makan gaji (walaupun bergaji besar) kepada kelas yang mencipta kekayaan dengan mengusahakan perniagaan yang berdaya saing dan mengambil risiko? Sekiranya model kejayaan kelas menengah Melayu ialah makan gaji dengan syarikat korporat besar (walaupun berkelayakan tinggi), sampai bila-bila orang Melayu merasakan mereka tidak menguasai bidang ekonomi setanding dengan bukan Melayu.

2) Penciptaan kekayaan oleh kelas menengah Melayu mestilah berpaksikan daya saing dan keupayaan membangunkan perniagaan (produk dan perkhidmatan) yang mampan. Tidak ada istilah Orang Kaya Baru, atau Orang Cepat Kaya. Jalan pintas untuk menjadi kaya sepatutnya tiada dalam istilah pengupayaan ekonomi orang Melayu.

3) Mempersiapkan minda orang Melayu bahawa ancaman kepada penyertaan ekonomi orang Melayu bukanlah orang bukan Melayu di negara ini, tetapi keterhubungan ekonomi akibat globalisasi. Pesaing sebenar ialah produk dan perkhidmatan dari serantau dan luar negara yang memasuki pasaran kita kerana lebih murah atau lebih berteknologi tinggi. Faktor skala operasi dan capaian pasaran dunia menjadi faktor penentu kemampanan sesebuah perniagaan, termasuklah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang banyak diterajui oleh kelas menengah Melayu.

Saya percaya Tun Mahathir akan terus berpegang kepada doktrin kuasa politik-korporat ini sampai bila-bila.

Namun saya memilih untuk menghayati pesanan Hang Tuah bahawa “takkan Melayu hilang di dunia” (dan memahami konteks pesanan itu di akhir Kesultanan Melayu Melaka, apabila kekuasaan boleh mengatasi kewarasan; maka kelangsungan Melayu terletak kepada pimpinan yang adil, berhemah dan berpada-pada menggunakan kuasa).