Lebihan palsu Bajet Pahang: Ke mana perginya wang ehsan 2014?
ULASAN: Bajet 2014 yang dibentangkan pada tahun 2013 telah menjangkakan bahawa prestasi kewangan tahun tersebut akan mencapai lebihan sejumlah RM110juta dengan hasil sejumlah RM811juta. Anggaran ini turut menganggarkan hasil daripada Wang Ehsan sejumlah RM100 juta dalam perkara “Pemberian Khas” Bajet 2014.
Saya telah mempertikaikan hasil lebihan tersebut semasa membahas Bajet 2014 di mana Bajet Pahang hanya akan mencapai lebihan RM2.19juta atau mungkin menjadi defisit tanpa Wang Ehsan tersebut dan Lebihan Bajet tersebut berunsur “lebihan palsu”. Menteri Besar Pahang telah meminta saya untuk menarik balik kenyataan tersebut dan telah membuat usul untuk menghalau saya keluar dari dewan dan saya dilarang untuk menghadiri dewan bagi tempoh satu tahun kerana mempertikaikan lebihan bajet itu.
Namun apa yang amat mengejutkan adalah Penyata Kewangan Pahang 2014 membuktikan bahawa jangkaan Kerajaan Pahang bahawa lebihan RM110juta dalam bajet 2014 pada hakikatnya telah menjadi kurangan (defisit) sejumlah RM115.9juta. Dari segi perakaunan, pengiraan bajet Pahang 2014 dengan keadaan sebenar mempunyai perbezaan sejumlah RM225.9juta!
Apa yang paling mengejutkan adalah Hasil penelitian saya dalam Laporan Kewangan mendapati bahawa Kerajaan Pahang tidak menerima Wang Ehsan (Pemberian Khas) RM100juta pada tahun 2014, dan jangkaan saya 2 tahun lepas pada tahun 2013 bahawa Bajet Lebihan mungkin akan menjadi DEFISIT tanpa Wang Ehsan, TELAHPUN BERLAKU!
Perkara ini turut dibangkitkan apabila ADUN Beserah, YB Andansura membahaskan Bajet Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang telah bangun dan memberi respon bahawa kerajaan Pahang memang tidak menerima Wang Ehsan pada tahun 2014.
Dalam Bajet 2016 Pahang, kerajaan Pahang turut membentangkan Bajet Lebihan dengan lebihan RM1.28juta sahaja. Namun, jumlah Pemberian Khas, yang dipecayai merupakan hasil daripada wang ehsan yang dijangka akan diterima adalah sejumlah RM140juta! Adakah ini bermakna akhirnya Bajet 2016 turut akan mengalami defisit yang teruk, sekiranya Wang Ehsan tidak diterima? Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak Kerajaan Negeri dalam perkara ini:
a. Mengapakah Wang Ehsan tidak diterima pada tahun 2014?
b. Adakah kerajaan telah menerima Wang Ehsan yang dijanjikan sejumlah RM200juta pada tahun 2015?
c. Bagaimanakah Kerajaan Pahang memastikan Wang Ehsan dibayar pada tahun 2016?
Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ketua Penerangan AMK Pusat
ADUN Semambu
Ketua Penerangan AMK Pusat