Kebimbangan
Najib Razak terhadap Muhyiddin Yassin dalam Perhimpunan Agung UMNO
tahun ini atau PAU 2015 ialah meliputi dua perkara - perasmian mesyuarat
sayap-sayap dan ucapan penggulungan pada hari terakhir perhimpunan.
Dalam
mesyuarat MT semalam, di sebalik Muhyiddin tidak diambil sebarang
tindakan, Najib berjaya menyekat suara Timbalan Presiden UMNO itu
daripada merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri dengan
memutuskan ketua sayap masing-masing merasmikannya.
Najib
memberi alasan bahawa tindakan itu diputuskan kerana kononnya ia adalah
kehendak serta permintaan ketua-ketua sayap tersebut dan MT hanya
menunaikan sahaja.
Adakah
betul MT menunaikan kehendak ketua-ketua sayap atau sebenarnya ia
merupakan kehendak Najib yang terpaksa dipatuhi oleh ketua-ketua sayap?
Tetapi
dengan menyekat Muhyiddin berucap merasmikan perhimpunan Wanita, Pemuda
dan Puteri itu, ia secara langsung mengesahkan ketakutan Najib terhadap
bekas Timbalan Perdana Menteri yang sudah dipecatnya itu.
Apakah yang menyebabkan Najib begitu takut dengan suara Muhyiddin dalam PAU 2015 kali ini?
Kerana
1MDB? Kerana derma RM2,600 juta? Atau kerana pelbagai isu menyaluti
dirinya yang semakin melemahkan UMNO jika dibangkitkan satu persatu oleh
Muhyiddin akan membangkitkan protes senyap terhadapnya?
Apa pun isunya yang menyebabkan Najib takut dengan Muhyiddin, kesimpulannya ialah beliau takut dengan kebenaran?
Dengan
Muhyiddin tidak dibenarkan merasmikan perhimpunan serentak ketiga-tiga
sayap itu, bukan saja simpati terhadapnya terus melonjak, tetapi yang
paling ditunggu-tunggu sekarang ialah ucapan penggulungannya pada hari
terakhir PAU 2015 nanti.
Tetapi, persoalan yang timbul ialah apakah Muhyiddin akan dibenarkan berucap atau sekali lagi suaranya akan disekat juga?
Jika
melakukan perasmian sayap-sayap pun boleh dihalang, apakah tidak
mustahil ucapan penggulungannya juga akan menerima nasib yang sama?
Mengikut
kebiasaan, sehari sebelum PAU 2015 dirasmikan iaitu pada sebelah
malamnya akan diadakan sekali lagi mesyuarat MT UMNO yang bukan saja
untuk mendengar laporan mengenai perjalanan perhimpunan Wanita, Pemuda
dan Puteri yang baru berakhir, tetapi juga untuk memutuskan
perkara-perkara terakhir untuk perhimpunan pada esok harinya.
Untuk
kali ini, adalah dipercayai Najib akan memanfaatkan buat kali kedua
kuasa MT untuk menghalang Muhyiddin daripada berucap di majlis
penggulungan itu.
Jika
ketika dihalang merasmikan perhimpunan sayap-sayap, hujah yang
digunakan ialah kerana kononnya ketua masing-masing ingin merasmikannya,
menghalang Muhyiddin berucap di majlis penggulungan pula mungkin dengan
menjadikan Zahid Hamidi dan Hishammuddin sebagai "korban" utamanya.
Selain
Presiden dan Timbalan Presiden, pemimpin lain yang biasanya berucap di
majlis penggulungan ialah ketiga-tiga Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua
Pemuda, Ketua Puteri dan seorang atau dua ahli MT tertentu yang dipilih
berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan sepanjang perhimpunan diadakan.
Untuk
pertama kali dalam sejarah UMNO dengan tujuan untuk menghalang
Muhyiddin daripada berucap, sama seperti pertama kali Ketua sayap
merasmikan perhimpunan masing-masing, tidak mustahil dalam PAU 2015 kali
ini hanya Najib seorang saja yang dicadang menyampaikan ucapan di
majlis penggulungan.
Cadangan
itu pula mungkin akan dilontarkan oleh mana-mana ahli MT yang
merupakan penyokong kuat Najib, kalau pun tidak oleh Tengku Adnan atau
Ahmad Maslan.
Ketua-ketua
sayap tentu setuju dengan cadangan itu kerana sudah "terhutang budi"
berikutan sudah diberi peluang merasmikan perhimpunan masing-masing
berbanding hanya menyampaikan ucapan dasar pada tahun-tahun sebelumnya.
Zahid
Hamidi dan Hishammuddin barangkali tiada pilihan selain bersetuju
untuk "simpan suara" kerana jika mereka mahu juga berucap di majlis
penutup, maka Muhyiddin dan Shafie harus juga dibenarkan sama.
Jika
Zahid dan Hishammudin mahu berucap juga dan dalam masa yang sama
terpaksa memberi ruang kepada Muhyiddin dan Shafie untuk berucap,
barangkali akan memperlihatkan kedua-duanya "tidak cukup sayang" kepada
Najib.
Maka,
dengan setujunya dua Naib Presiden iaitu Zahid dan Hishammudin serta
ketua-ketua sayap terhadap cadangan tidak berucap itu, alasan tersebut
akan digunapakai untuk menghalang semua pemimpin lain daripada berucap,
kecuali Najib.
Akhirnya,
PAU 2015 kali ini perasmiannya akan dilakukan Presiden UMNO dan
penutupnya pula oleh Perdana Menteri. Ucapan-ucapan sepanjang perbahasan
pula lebih tertumpu untuk membela serta mempertahankan Pengerusi
Lembaga Penasihat 1MDB. (SH 25/11/2015)