JANGAN TERKEJUT, MUNGKIN HANYA NAJIB SEORANG SAJA BERUCAP DI PENUTUP PAU 2015 KALI INI?

 

 

Kebimbangan Najib Razak terhadap Muhyiddin Yassin dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun ini atau PAU 2015 ialah meliputi dua perkara - perasmian mesyuarat sayap-sayap dan ucapan penggulungan pada hari terakhir perhimpunan.

Dalam mesyuarat MT  semalam, di sebalik Muhyiddin tidak diambil sebarang tindakan, Najib berjaya menyekat suara Timbalan Presiden UMNO itu daripada merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri dengan memutuskan ketua sayap masing-masing merasmikannya.

Najib memberi alasan bahawa tindakan itu diputuskan kerana kononnya ia adalah kehendak serta permintaan ketua-ketua sayap tersebut dan MT hanya menunaikan sahaja.

Adakah betul MT menunaikan kehendak ketua-ketua sayap atau sebenarnya ia merupakan kehendak Najib yang terpaksa dipatuhi oleh ketua-ketua sayap?

Tetapi dengan menyekat Muhyiddin berucap merasmikan perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri itu, ia secara langsung mengesahkan ketakutan Najib terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri yang sudah dipecatnya itu.

Apakah yang menyebabkan Najib begitu takut dengan suara Muhyiddin dalam PAU 2015 kali ini? 

Kerana 1MDB? Kerana derma RM2,600 juta? Atau kerana pelbagai isu menyaluti dirinya yang semakin melemahkan UMNO jika dibangkitkan satu persatu oleh Muhyiddin akan membangkitkan protes senyap terhadapnya?

Apa pun isunya yang menyebabkan Najib takut dengan Muhyiddin, kesimpulannya ialah beliau takut dengan kebenaran?

Dengan Muhyiddin tidak dibenarkan merasmikan perhimpunan serentak ketiga-tiga sayap itu, bukan saja simpati terhadapnya terus melonjak, tetapi yang paling ditunggu-tunggu sekarang ialah ucapan penggulungannya pada hari terakhir PAU 2015 nanti.

Tetapi, persoalan yang timbul ialah apakah Muhyiddin akan dibenarkan berucap atau sekali lagi suaranya akan disekat juga?

Jika melakukan perasmian sayap-sayap pun boleh dihalang, apakah tidak mustahil ucapan penggulungannya juga akan menerima nasib yang sama?

Mengikut kebiasaan, sehari sebelum PAU 2015 dirasmikan iaitu pada sebelah malamnya akan diadakan sekali lagi mesyuarat MT UMNO yang bukan saja untuk mendengar laporan mengenai perjalanan perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri yang baru berakhir, tetapi juga untuk memutuskan perkara-perkara terakhir untuk perhimpunan pada esok harinya.

Untuk kali ini, adalah dipercayai Najib akan memanfaatkan buat kali kedua kuasa MT untuk menghalang Muhyiddin daripada berucap di majlis penggulungan itu.

Jika ketika dihalang merasmikan perhimpunan sayap-sayap, hujah yang digunakan ialah kerana kononnya ketua masing-masing ingin merasmikannya, menghalang Muhyiddin berucap di majlis penggulungan pula mungkin dengan menjadikan Zahid Hamidi dan Hishammuddin sebagai "korban"  utamanya.

Selain Presiden dan Timbalan Presiden, pemimpin lain yang biasanya berucap di majlis penggulungan ialah ketiga-tiga Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan seorang atau dua ahli MT tertentu yang dipilih berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan sepanjang perhimpunan diadakan.

Untuk pertama kali dalam sejarah UMNO dengan tujuan untuk menghalang Muhyiddin daripada berucap, sama seperti pertama kali Ketua sayap merasmikan perhimpunan masing-masing, tidak mustahil dalam PAU 2015 kali ini hanya Najib seorang saja yang dicadang menyampaikan ucapan di majlis penggulungan.

Cadangan itu pula mungkin akan dilontarkan oleh mana-mana ahli MT yang  merupakan penyokong kuat Najib, kalau pun tidak oleh Tengku Adnan atau Ahmad Maslan.

Ketua-ketua sayap tentu setuju dengan cadangan itu kerana sudah "terhutang budi"  berikutan sudah diberi peluang merasmikan perhimpunan masing-masing berbanding hanya menyampaikan ucapan dasar pada tahun-tahun sebelumnya.

Zahid Hamidi dan Hishammuddin barangkali tiada pilihan selain bersetuju  untuk "simpan suara" kerana jika mereka mahu juga berucap di majlis penutup, maka Muhyiddin dan Shafie harus juga dibenarkan sama.

Jika Zahid dan Hishammudin mahu berucap juga dan dalam masa yang sama terpaksa memberi ruang kepada Muhyiddin dan Shafie untuk berucap, barangkali akan memperlihatkan kedua-duanya "tidak cukup sayang" kepada Najib.

Maka, dengan setujunya dua Naib Presiden iaitu Zahid dan Hishammudin serta ketua-ketua sayap terhadap cadangan tidak berucap itu, alasan tersebut akan digunapakai untuk menghalang semua pemimpin lain daripada berucap, kecuali Najib.

Akhirnya,  PAU 2015 kali ini perasmiannya akan dilakukan Presiden UMNO  dan penutupnya pula oleh Perdana Menteri. Ucapan-ucapan sepanjang perbahasan pula lebih tertumpu untuk membela serta mempertahankan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB. (SH 25/11/2015)