GMI dakwa wujud tempat khas seksa tahanan ISA

Frame1

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menyiasat dakwaan bahawa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diseksa di tempat khas semasa di dalam tahanan.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Khalid Ibrahim berkata, mangsa tahanan ISA perlu memberikan bukti kewujudan tempat khas untuk menyeksa mereka.

"Ahli Suhakam tidak pernah memasuki bilik yang dikatakan menjadi tempat tahan diseksa itu. Kita hanya melihat secara kasar sahaja.

"Bagaimanapun, Suhakam menentang sebarang bentuk penyeksaan ke atas tahanan ISA, malah menutup mata mereka semasa soal siasat sudah menjadi satu kesalahan," katanya di pejabatnya di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan kewujudan bilik khas untuk menyeksa tahanan yang ditimbulkan oleh seorang isteri tahanan ISA.

Sebelum itu, Khalid menerima memorandum dari Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh (kiri) di pejabat Suhakam di ibu negara hari ini.

Memorandum tersebut meminta Suhakam menyiasat mengenai kewujudan bilik menyeksa tahanan ISA dan terhadap anggota polis yang melakukannya.

Pindah tahanan

Beliau berkata, Suhakam akan menghantar surat kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan supaya mengambil tindakan terhadap anggota polis yang mendera tahanan ISA.

Khalid berkata, jika tiada bukti, Suhakam sukar untuk menjalankan siasatan kerana bukan semua tempat tahanan yang boleh diperiksa oleh suruhanjaya itu.

"Untuk membawa kes ini ke mahkamah tentu sekali memerlukan bukti dan ini yang diperlukan oleh Suhakam," katanya lagi.

Khalid berkata, Suhakam juga boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan pendengaran awam apabila mangsa dicedera atau disiksa semasa dalam tahanan.

Mengenai dakwaan bahawa tahanan ISA yang sakit dibebaskan, pesuruhjaya Suhakam itu mengakui kebenarannya.

Sementara itu, Khalid berkata, Suhakam akan menyiasat laporan bahawa tahanan di Penjara Simpang Rengam, Johor telah dihantar ke Kem Tahanan Kamunting.

Beliau berkata, pihaknya ingin mengetahui posedur yang digunakan kerana tahanan di Simpang Rengam tidak sama dengan tahanan ISA Kamunting.

"Ada perbezaan tahanan yang ditahan di bawah Ordinan Darurat di Simpang Rengam dengan tahanan ISA di Kamunting," katanya lagi.


No comments: