BERBANDING BINCANG SOAL TAHANAN RUMAH NAJIB, KABINET LEBIH PERLU IKTIRAF PANDANGAN PMX SEBAGAI PENDIRIAN RASMI KERAJAAN

 


Susulan pandangan Anwar Ibrahim bahawa tahanan rumah kepada Najib Razak hanya patut dipertimbangkan selepas semua kes mahkamah berkaitan 1MDB yang sedang dihadapinya selesai, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan mungkin akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.

Katanya, isu tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat kabinet semalam yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

“Tidak dibincangkan (pada mesyuarat kabinet semalam), mungkin ia akan dibincangkan apabila Anwar kembali ke tanah air nanti,” katanya yang merupakan jurucakap rasmi kerajaan perpaduan.

Perdana Menteri kini berada di luar negara untuk lawatan rasmi dan dijangka akan kembali ke dalam negara pada minggu depan.

Sama ada kita suka atau tidak, pandangan Anwar yang dilontarkannya mengenai isu tahanan rumah Najib dalam Forum Ekonomi Qatar beberapa hari lalu adalah merupakan hujah paling logik, sangat munasabah dan menggembirakan rakyat Malaysia.

Sesiapa pun yang berakal waras dan kepalanya tak masuk air, pasti dengan senang hati dapat menerima pakai hujah PMX itu.

Memang tidak dapat disangkal bahawa Najib hanya patut diberikan tahanan rumah jika sekiranya semua kes mahkamahnya berkaitan 1MDB telah selesai dihadapinya.

Amat tidak masuk akal kalau tahanan rumah diberikan kepada Najib dalam keadaan banyak lagi kes mahkamah masih belum selesai dihadapinya.

Apa istimewanya beliau, bukankah undang-undang sama disisi setiap orang?

Dengan itu, selain Najib sendiri telah membawa ke mahkamah untuk semakan kehakiman berkaitan tahanan rumah yang dikatakan terkandung dalam titah adendum Agong ke-16, maka tiada keperluan sama sekali untuk kabinet membincangkan perkara tersebut.

Biarkan saja mahkamah membuat keputusan bila tiba waktunya nanti.

Namun demikian, kalau pun kabinet merasakan ada keperluan untuk turut ambil bahagian dalam hal berkenaan, apa yang perlu dilakukan ialah mengiktiraf serta mengesahkan yang pandangan Perdana Menteri itu sebagai pendirian rasmi kerajaan.

Hakikatnya, pandangan Anwar itu bukan saja hujah yang sangat logik dan paling munasabah, tetapi juga menggambarkan pemeliharaan terhadap keluhuran undang-undang yang sejati kepada semua rakyat Makaysia.

Mana tahu jika selepas ini ada lagi berlaku kes seperti Najib ini, maka dengan pengiktirafan serta pengesahan kabinet terhadap pandangan Anwar itu, ertinya lebih memudahkan ia dijadikan rujukan pada masa depan.

Pokoknya, meski telah menjalani satu hukuman, tetapi selagi ada kes mahkamah lain yang masih belum selesai, memberi tahanan rumah kepada sesiapa jua adalah sangat tidak munasabah.

Bagaimana jika selepas diberi tahanan rumah, tiba-tiba didapati bersalah dalam kes yang lain?

Cukuplah kes Najib yang satu ini saja membuatkan kita serabut kepala. – ShahbudinHusin 16Mei2024.