Susulan pandangan Anwar Ibrahim
bahawa tahanan rumah kepada Najib Razak hanya patut dipertimbangkan selepas
semua kes mahkamah berkaitan 1MDB yang sedang dihadapinya selesai, Menteri
Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan mungkin akan dibincangkan
dalam mesyuarat kabinet akan datang.
Katanya, isu tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat kabinet
semalam yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
“Tidak dibincangkan (pada
mesyuarat kabinet semalam), mungkin ia akan dibincangkan apabila Anwar kembali
ke tanah air nanti,” katanya yang merupakan jurucakap rasmi kerajaan perpaduan.
Perdana Menteri kini berada di luar negara untuk lawatan rasmi
dan dijangka akan kembali ke dalam negara pada minggu depan.
Sama ada kita suka atau tidak, pandangan Anwar yang
dilontarkannya mengenai isu tahanan rumah Najib dalam Forum Ekonomi Qatar
beberapa hari lalu adalah merupakan hujah paling logik, sangat munasabah dan menggembirakan
rakyat Malaysia.
Sesiapa pun yang berakal waras dan kepalanya tak masuk air,
pasti dengan senang hati dapat menerima pakai hujah PMX itu.
Memang tidak dapat disangkal
bahawa Najib hanya patut diberikan tahanan rumah jika sekiranya semua kes mahkamahnya
berkaitan 1MDB telah selesai dihadapinya.
Amat tidak masuk akal kalau tahanan rumah diberikan kepada Najib
dalam keadaan banyak lagi kes mahkamah masih belum selesai dihadapinya.
Apa istimewanya beliau, bukankah undang-undang sama disisi
setiap orang?
Dengan itu, selain Najib sendiri telah membawa ke mahkamah untuk
semakan kehakiman berkaitan tahanan rumah yang dikatakan terkandung dalam titah
adendum Agong ke-16, maka tiada keperluan sama sekali untuk kabinet
membincangkan perkara tersebut.
Biarkan saja mahkamah membuat keputusan bila tiba waktunya
nanti.
Namun demikian, kalau pun
kabinet merasakan ada keperluan untuk turut ambil bahagian dalam hal berkenaan,
apa yang perlu dilakukan ialah mengiktiraf serta mengesahkan yang pandangan
Perdana Menteri itu sebagai pendirian rasmi kerajaan.
Hakikatnya, pandangan Anwar itu bukan saja hujah yang sangat
logik dan paling munasabah, tetapi juga menggambarkan pemeliharaan terhadap
keluhuran undang-undang yang sejati kepada semua rakyat Makaysia.
Mana tahu jika selepas ini ada lagi berlaku kes seperti Najib
ini, maka dengan pengiktirafan serta pengesahan kabinet terhadap pandangan
Anwar itu, ertinya lebih memudahkan ia dijadikan rujukan pada masa depan.
Pokoknya, meski telah menjalani satu hukuman, tetapi selagi ada
kes mahkamah lain yang masih belum selesai, memberi tahanan rumah kepada
sesiapa jua adalah sangat tidak munasabah.
Bagaimana jika selepas diberi tahanan rumah, tiba-tiba didapati bersalah dalam
kes yang lain?
Cukuplah kes Najib yang satu ini saja membuatkan kita serabut
kepala. –
ShahbudinHusin 16Mei2024.