Bersatu akan dapatkan undi untuk Anwar
Bersatu akan berkempen mendapatkan undi penyokong Umno kepada Anwar Ibrahim di Pilihan Raya Kecil Port Dickson.
Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata mereka merancang mengadakan lawatan rumah ke rumah untuk meraih undi penyokong dan ahli Umno di kawasan Bagan Pinang.
“Strategi kami adalah pergi rumah ke rumah. Kami sudah atur jentera. Kami ditugaskan ke kawasan Bagan Pinang,” katanya kepada wartawan pada sidang media malam tadi.
Marzuki yang juga timbalan menteri luar itu berkata Bersatu yakin mereka dapat meraih sebahagian besar undi Umno kerana parti itu tidak bertanding pada PRK ini.
“Sudah tentu, kami akan dapatkan seramai yang kami boleh,” katanya.
Marzuki juga berkata Bersatu akan menyentuh soal agenda Melayu untuk menarik ahli Umno memberikan undi mereka kepada Anwar.
“Ada pandangan yang kerajaan sekarang tak buat apa-apa untuk orang Melayu, kami mahu betulkan pandangan itu. Kami juga letakkan kepentingan kepada agenda Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui selepas sidang media itu.
Beliau juga menafikan Bersatu memboikot PRK tersebut, berkata mereka turun padang pada separuh masa kedua berkempen.
“Kami tak terlalu lewat, ini pusingan kedua kempen. Kami sudah aturkan program libatkan menteri seperti Syed Saddiq dan Rina,” katanya merujuk kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Rina Harun.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga akan turun berkempen, manakalan Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka turun Isnin ini.
Sementara itu, Marzuki berkata Bersatu sudah menyelesaikan masalah Bersatu Negeri Sembilan yang terlibat dalam pergolakan politik dalaman.
Penstrukturan parti itu di Negeri Sembilan akan diketuai bekas veteran Umno, Rais Yatim dan akan beroperasi sepenuhnya selepas PRK ini.
“Ada masalah displin dan dalaman. Ada pergelutan kuasa dan jawatan tetapi sekarang kami sudah selesaikan sepenuhnya,” katanya.