Orang kata hanya penggemar air putih sahaja yang akan tahu beza rasa air pada setiap jenis botol mineral. Tapi tahukah anda, setiap botol mineral ada dilabelkan sebagai air mineral semula jadi, air minuman, air osmosis berbalik dan sebagainya.
Tahukah anda cara paling mudah membezakan dua jenis air minuman sama ada air mineral semula jadi atau air minuman berbungkus hanyalah dengan melihat warna yang digunakan pada penutup botol.
Penutup botol berwarna putih untuk air minuman berbungkus manakala pelbagai warna untuk air mineral semula jadi, selain berpandukan label botol minuman.
Jom kita semak perkongsian dari Harian Metro yang memetik sumber dari myhealth.gov.my
Air mineral semula jadi
Punca sumber: Diperoleh daripada strata kandungan air bawah tanah melalui mata air, gerekan dan lain-lain jalan keluar. Punca perlu mendapat kelulusan dan lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Penambahan mineral: Tidak boleh diperkaya atau diperkuat atau ditambah dengan vitamin atau mineral. Penambahan karbon dioksida dibenarkan
Rawatan:
1. Tertakluk pada satu atau beberapa rawatan berikut dengan syarat kandungan air atau mineral tidak terubah suai/berubah
2. Penapisan
3. Pengklorinan diikuti pendeklorinan
4. Pengudaraan diikuti pendeudaraan
5. Pengkarbonan/pendekarbonan
6. Pensterilan ultra ungu
7. Pelakuan ozon
8. Pempasteuran
9. Perlu mematuhi standard ditetapkan
Pada label perlu ada: Perlu dilabel sebagai ‘Air Mineral Semula Jadi’ atau ‘Air Mineral Semula Jadi Berkarbonat’ sekiranya mengandungi karbon dioksida:
1. Amaun jumlah pepejal terlarut
2. Nama kandungan mineral yang ada
3. Nilai pH
4. Lokasi punca
5. Jenis punca
6. Nombor kelulusan KKM
7. Punca diluluskan oleh KKM’
8. Nama dan alamat lengkap pengeluar
9. Buatan Malaysia’ atau buatan negara asal pengeluar
Pembungkusan/Botol:
1. Penutup botol pelbagai warna
2. Botol digunakan mestilah berkeadaan telus dan lut sinar
Air minuman berbungkus
Punca sumber: Diperoleh dari semua punca air yang selamat seperti dari sistem bekalan air awam atau air paip, air permukaan (sungai, kolam, tasik) dan air tanah (telaga tiub, mata air)
Tetapi perlu mendapat kelulusan dan lesen daripada KKM
Penambahan mineral: Boleh mengandungi tambahan garam klorida, bikarbonat dan sulfat bagi kalsium, magnesium, kalium dan sodium serta karbon dioksida
Rawatan:
1. Semua jenis rawatan boleh digunakan asalkan standard air mematuhi standard ditetapkan. Jenis rawatan ke atas air minuman.
2. Penurasan – untuk menghilangkan bau, rasa, kandungan organik atau klorin
3. Penyulingan
4. Osmosis berbalik
5. Elektrodialisis
6. Penukaran ion
7. Disinfeksi menggunakan ozon atau sinaran ultra ungu
8. Menurunkan keliatan air pelembut air, penukaran ion, osmosis berbalik, penyulingan
Pada label perlu ada: Perlu dilabel sebagai ‘Air Minuman’ atau ‘Air Minuman Berkarbonat’ jika mengandungi karbon dioksida
1. Selain itu perlu mempunyai amaun mineral atau garam tambahan sekiranya ada
2. Jenis punca air
3. Nombor kelulusan KKM
4. ‘Punca diluluskan oleh KKM’
5. Nama dan alamat lengkap pengeluar
6. ‘Buatan Malaysia’ atau buatan negara asal pengeluar
Pembungkusan/Botol: Penutup botol berwarna putih. Botol yang digunakan mestilah berkeadaan telus dan lut sinar.
Pengguna sering keliru dengan penyataan osmosis berbalik, osmosis songsang, air R.O, air suling dan air ozon. Ini sebenarnya adalah penyataan jenis proses rawatan ke atas air dilakukan untuk air minuman berbungkus.
Secara amnya, proses rawatan bertujuan menghilangkan bau, rasa, kandungan organik dan klorin.
Rawatan seperti penyulingan dan osmosis berbalik adalah untuk membuang atau mengurangkan mineral, manakala ozon digunakan untuk membunuh kuman.