Tiada lagi parti dominan, Zuraida harus cermin diri
Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong yang juga Ahli Dewan Negara menegaskan tiada lagi parti dominan dalam politik Malaysia pada masa ini sejak pilihan raya umum ke-14.
Beliau berkata, Umno dan semua parti politik harus menerima hakikat bahawa mereka perlu hadir bersama atau “co-exist” dengan parti-parti lain demi kestabilan negara dan kebaikan rakyat.
Mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Zuraida Kamaruddin yang menggesa DAP perlu cermin diri, Chin Tong menjawab bekas pemimpin PKR itu yang sepatutnya berbuat demikian.
“Zuraida sendiri yang terlibat dalam pengkhianatan Sheraton harus mencerminkan diri sendiri.
“Selepas 15 bulan, lebih ramai pengundi Melayu berpandangan bahawa kerajaan sekarang adalah #kerajaangagal yang mengamalkan diskriminasi ‘antara dua darjat’,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.
Semalam, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, DAP perlu cermin diri kerana dakwanya pengalaman bersama parti roket itu semasa mentadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah “menampakkan belang sebenar DAP sendiri yang cuba menjadi dominan dalam masyarakat Cina di Malaysia.”
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Chin Tong yang mengingatkan Umno agar tidak menjadi ‘abang besar’ dalam koalisi sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang.
Mengulas lanjut, Chin Tong berpendapat, selepas tewas dalam PRU14, Umno membakar sentimen kaum dan agama untuk menyusahkan permerintahan PH dengan hasrat untuk menjatuhkannya di pertengahan penggal.
“Sebab Umno sedar ia tidak mampu untuk menang kuasa di medan pilihan raya. Dengan taktik kotor itu, Umno berjaya menjatuhkan kerajaan PH dengan kerjasama pengkhianat (termasuk Zuraida) melalui Langkah Sheraton,” bidasnya.
Walau bagaimanapun, Pengerusi DAP Johor sejak 2014 itu berkata, strategi itu pada masa ini akhirnya memakan diri Umno sendiri apabila sekarang menjadi mangsa kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Parti yang Zuraida melompat masuk, iaitu Bersatu dengan bilangan kerusi yang kecil, ingin menjadi ‘abang besar’ dengan mendominasi gabungan politik PN.
“Inilah yang menyebabkan kemarahan Umno,” katanya.
Sehubungan itu, Chin Tong yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan berkata, sudah tiba masanya semua parti melupakan impian politik dominasi.
“Kita perlu menggunakan sistem Parlimen untuk menjayakan demokrasi negara kita.
“Yang kalah tunggulah hingga PRU yang akan datang, yang menang janganlah terlampau gila kuasa,” tambahnya lagi.