Sekolah Seharusnya Menjadi Tempat Selamat Menimba Ilmu

 

Oleh: Fuziah Salleh



Sekolah seharusnya menjadi tempat selamat, bukan tempat guru dan pelajar lelaki menjatuhkan maruah pelajar perempuan serta menjadikan pelajar perempuan sebagai sasaran kepada gangguan seksual.

#MakeSchoolsASaferPlace

https://www.malaysiakini.com/news/572149

Merujuk kepada laporan di atas, susulan video yang tular sebelumnya yang memaparkan kisah seorang guru membuat lawak lucah dan mempersendakan isu rogol di hadapan pelajar perempuan, kini timbul pula kisah pelajar lelaki mengugut untuk merogol pelajar perempuan tersebut. Hal ini jelas mencerminkan situasi tidak sihat sedang berlaku di sekolah anak-anak kita.

Sebelum itu, masyarakat turut digemparkan dengan berita dan laporan media mengenai pelajar-pelajar perempuan yang diraba oleh guru, ustazah serta warden asrama sebagai cara mengesahkan mereka datang haid atau cuma berlakon untuk mengelak dari melakukan ibadah solat. Dari laporan tersebut, jelas bahawa insiden seperti ini bukan kes terpencil yang berlaku setakat satu dua kes, tetapi menunjukkan satu ‘pattern’ tertentu dan ternyata selama ini kes tersebut telah lama wujud.

Hakis kepercayaan terhadap integriti institusi pendidikan

Wanita KEADILAN ingin menegaskan bahawa semua insiden yang berlaku ini adalah tindakan yang bukan sahaja merosakkan nama baik guru, tetapi ianya juga menghakis kepercayaan orang ramai terhadap integriti institusi pendidikan secara keseluruhan dan sewajarnya insiden ini tidak patut dibenarkan berlaku di sekolah anak-anak kita. Seluruh rakyat Malaysia juga harus memandang serius hal ini kerana sekiranya kita tidak berbuat demikian, mempersenda maruah wanita akan menjadi suatu 'kelaziman' di negara ini.

Hari ini mungkin berlaku ke atas anak orang lain, satu hari tidak mustahil berlaku ke atas anak kita sendiri sekiranya gejala ini tidak dibendung. Bagaimana jika anak kita pula berada dalam situasi di atas?

Sekolah yang merupakan tempat menimba ilmu dan sepatutnya dipenuhi dengan kenangan manis untuk dibawa ke alam dewasa dan dijadikan bahan bercerita sewaktu usia tua tentu sekali berbeza jadinya jika insiden sebegini berterusan terjadi di sekolah.

Saya yakin ibu bapa yang mempunyai anak perempuan tentu amat khuatir tentang keselamatan anak mereka di tempat yang seharusnya selamat bagi mereka. Saya juga yakin ibu bapa tentu sekali khuatir sekiranya anak lelaki mereka pula mampu mengugut untuk merogol pelajar perempuan sedangkan mereka masih dalam usia muda dan dikategorikan sebagai ‘bawah umur’ (minor).

Gangguan seksual di sekolah, mengerikan

Seorang guru dewasa boleh membuat lawak lucah di hadapan pelajar perempuan di sekolah dengan selamba, tanpa merasakan ianya satu kesalahan yang boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual. Hal ini adalah sesuatu yang amat mengerikan. Adakah berkemungkinan untuk guru tersebut melakukan perkara yang sama kepada wanita-wanita lain? Dalam keadaan negara kita yang ketiadaan undang-undang melindungi wanita dari gangguan seksual, situasi ngeri seperti ini boleh menjadi trauma yang mendalam bagi kaum wanita.

Pelajar lelaki yang mampu mengugut mahu merogol seorang pelajar perempuan, mungkin mampu juga mengugut wanita lain apabila dia dewasa kelak? Persoalan lebih besar ialah persekitaran anak-anak kita belajar dan membesar kini menjadi persekitaran yang menakutkan.

Pihak pemerintah iaitu kerajaan sedia ada wajar meneropong kepada isu lebih besar yang dibangkitkan di atas, iaitu pembentukan budaya adab sopan, serta hormat kepada wanita di sekolah dan dalam masyarakat. Di dalam keluarga seharusnya sudah bermula asas pendidikan adab sopan yang disambung serta diteruskan oleh guru-guru di tempat belajar. Seterusnya, dperkukuhkan pula norma-norma tersebut di dalam masyarakat. Kepincangan sistem ini akan menghancurkan generasi masa depan.

Budaya yang merupakan amalan sesebuah masyarakat memang sukar dibentuk kerana ia mengambil masa panjang. Akan tetapi parameter membentuk masyarakat tersebut bermula dengan penggubalan sistem dan undang-undang. Wajib dipersetujui bersama apa yang boleh diterima dan apa yang tidak boleh diterima sebagai sebahagian dari norma dan adab sopan di sekolah, dalam keluarga dan juga dalam masyarakat.

Gangguan Seksual BUKAN salah satu norma yang boleh diterima, malahan ianya wajib dikecam!

Kegagalan bentang Akta Gangguan Seksual

Kegagalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Pendidikan mengenalpasti isu ini sebagai satu isu yang amat besar adalah amat mengecewakan. Rang Undang-Undang Gangguan Seksual gagal dibawa ke Parlimen seperti yang telah dijanjikan sewaktu PH menjadi kerajaan. Menteri Pendidikan sunyi sepi seolah-olah mulut dizip mempamerkan sikap sambil lewa pihak Menteri dan kementerian memberi gambaran seolah hal ini merupakan perkara yang enteng.

Walaupun terdapat Akta Kanak-kanak dan peruntukan-peruntukan di dalam Kanun Keseksaan serta beberapa undang-undang lain yang sedia ada untuk mengekang jenayah gangguan seksual, namun ia belum mampu menangani gangguan seksual secara spesifik. Sebab itulah kita memerlukan RUU Akta Gangguan Seksual dibentangkan dengan serta merta.

Saya juga menggesa agar kerajaan memperhebatkan pendidikan gender dan advokasi kesedaran gangguan seksual. Wanita KEADILAN bersedia menawarkan khidmat nasihat berkaitan dakwaan dan salah laku gangguan seksual yang berlaku dalam masyarakat.

_________________________________________________________________________________



Penulis merupakan Ahli Parlimen Kuantan dan Ketua Wanita KEADILAN