4,855 kes Covid-19, Selangor lapor jangkitan tertinggi

FMT Reporters

 -

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan melaporkan 4,855 kes baharu Covid-19 dan 27 kematian, manakala 3,347 pesakit sembuh.

Ini menjadikan 414,707 daripada keseluruhan 458,077 pesakit Covid-19 sudah pulih, manakala 1,788 orang meninggal dunia akibat jangkitan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat 41,582 kes aktif dengan 247 daripada 481 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baharu itu, tiga ialah kes import dan baki 4,852 kes penularan tempatan membabitkan 4,494 warganegara dan 358 warga asing.

Katanya, Selangor melaporkan jumlah jangkitan harian tertinggi, dengan 1,783 kes, diikuti Kuala Lumpur (521), Johor (467), Sarawak (395), Pulau Pinang (395), Kelantan (339), Perak (302), Kedah (193), Terengganu (148), Negeri Sembilan (100), Sabah (76), Melaka (67), Pahang (56), Putrajaya (9) dan Labuan (4).

Perlis tidak melaporkan sebarang kes baharu.

Noor Hisham berkata, lapan kematian dilaporkan di Selangor, lima di Johor, tiga di Kelantan, masing-masing dua kematian di Sabah, Kuala Lumpur, Sarawak dan Pulau Pinang, serta satu kematian di Perak, Pahang dan Labuan.

Beliau berkata, semua 27 kematian itu membabitkan warganegara berusia 37 hingga 83 tahun, dengan semua kecuali lima orang mempunyai latar belakang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, jantung dan buah pinggang kronik.

Tiga daripadanya hanya dikesan positif Covid-19 selepas mayat mereka dibawa ke hospital.

No comments: